BANYAK sebenarnya elemen yang berlaku dan perlu dipertimbangkan apabila terjadinya sesuatu Pilihan Raya Kecil (PRK) selain tidak boleh dinafikan setiap satunya mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

PRK adalah pilihan raya tidak berjadual dan ianya berlaku tidak seperti Pilihan Raya Umum (PRU) atau seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lazimnya sudah boleh dibaca waktu kejadiannya.

PRK berlaku lazimnya di atas dua sebab iaitu yang pertama apabila berlakunya kematian atau kemalangan dan satu lagi akibat peristiwa yang tidak boleh dielak seperti peletakan jawatan atau wakil rakyatnya menjalani hukuman penjara, sebagai contoh apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jadi PRK ini sebenarnya diadakan untuk menyambung kepimpinan supaya tiada kekosongan kepada kawasan yang pernah ada wakil rakyat.

Ia sekadar satu proses penyambungan dan bukanlah dianggap medan persaingan, walaupun tidak boleh dinafi ia peluang keemasan untuk mencari tokoh baharu namun tidak ada sesiapa boleh menafikan keizinan proses pendemokrasian sendiri yang akan membenarkan seseorang calon itu dipilih.

Peristiwa PRK

Di negara kita sendiri sejak sejak 2008 menyaksikan begitu banyak sekali peristiwa PRK ini.

Kalau dilihat dalam tempoh lapan tahun yang lepas, kita pernah menyaksikan 28 PRK di mana 16 adalah di bawah zon selepas PRU ke-12.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sendiri merupakan PRK ke-11 dan ke-12 selepas 10 PRK berlaku selepas PRU ke-13.

Sepuluh PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015); PRK Parlimen Rompin, Pahang (5 Mei 2015) dan PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang (7 Mei 2015).

Secara puratanya dalam masa lapan tahun ini, kita berhadapan dengan tiga atau empat PRK setahun.

Kita sedar, dalam setiap PRK itu soal tenaga, masa dan perbelanjaan menjadi satu isu yang harus dilihat dari aspek penjimatan dan langkah itu sebenarnya sudah lama diambil Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri sejak sekian lama.

Sebagai bukti, tidak ada PRK akan dibuat jika ada kejadian yang berlaku dalam tempoh tertentu sebelum PRU dan ia bukan langkah menyekat pendemokrasian namun dilakukan selepas mengambil kira faktor penjadualan untuk calon seterusnya yang akan mengisi kekosongan itu dengan tempoh singkat.

Tawan dan tahan

Lazimnya juga, di dalam setiap PRK itu konsep 'tahan dan tawan' akan diaplikasi sepenuhnya kepada parti-parti yang bertanding dengan syarat beberapa tumpuan akan diberi perhatian.

Kebiasannya juga, tumpuan jentera atau parti akan menjadi satu keutamaan, namun tidak semua PRK membawa ciri begitu kerana ada juga PRK yang mana khususnya Barisan Nasional (BN) yang tidak bertanding.

Sebagai contoh selepas PRU ke-12, BN memberi penghormatan kepada anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh untuk meneruskan legasi bapanya di Bukit Gelugor Pulau Pinang.

Selain itu, BN turut tidak bertanding di PRK DUN Chempaka kerana memberi penghormatan kepada pemergian bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semuanya dilakukan kerana memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh pembangunan politik negara.

Kalau hendak dikata PRK ini satu ruang untuk BN menambah kerusi, ia mungkin kurang sesuai kerana BN juga merupakan sebuah parti yang cukup matang untuk memikirkan tentang elemen-elemen lain.

Tidak perlu dipanjangkan cerita, BN sudah mendahului sifat kemanusiaan itu sendiri dengan bukti jelas di Bukit Gelugor serta Chempaka.

Dua PRK yang berlaku di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak ini juga merupakan PRK yang syahdu sekali.

Dalam PRK ini ternyata membawa unsur emosi apabila di Kuala Kangsar sendiri, legasi kepimpinan mahu disambung oleh seorang isteri

Perkara ini juga bukan baharu, malah ia seharusnya dilihat dari dimensi membawa hikmah yang menyambung kepimpinan dengan calon yang sesuai dalam suasana yang sedang dilalui.

Seandainya ada yang membangkitkan minggu kempen yang jatuh pada bulan Ramadan, seharusnya memang ada PRK Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013) yang dilakaukan pada bulan puasa, jadi tidak ada kelainannya dan rakyat akan melihat tidak ada perkara baharu di situ.

Jika ditimbul isu PRK kembar juga sebenarnya pernah berlaku pada PRK Kerdau dan Merlimau yang diadakan serentak pada 6 Mac 2011.

Hakikatnya, situasi pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini juga sebenarnya bermula dengan kesyahduan selain menyedihkan.

Ia bermula dengan kematian seorang anggota Kabinet dan seorang lagi yang berkhidmat di Bandar Di-Raja.

Seharusnya PRK ini bleh dianggap bukan PRK biasa yang berlaku kerana ia terjadi selepas insiden nahas helikopter di sebuah sungai di Sarawak.

Kehilangan dua tokoh yang begitu baik, sopan dan begitu tertib budinya menjadikan masyarakat di kedua-dua kawasan menjadi syahdu sekali gus menolak suasana maki hamun atau kempen politik kotor menjelang pengundian pada 18 Jun kelak.

Kesinambungan politik

Pasti apa yang didamba pengundi adalah kesinambungan, selepas dua wakil meninggalkan masyarakat di dua kawasan dalam keadaan yang menyedihkan.

Tidak perlu pertikaian di Kuala Kangsar apabila isteri menyambung kesinambungan yang sudah dibuat suami, pastinya ia elemen terbaik yang harus dilihat masyarakat.

BACA: 'Datin Mastura aktif bantu parti sejak sekian lama' - Dr Zambry

BACA:
Pembangkang sudah dijangka heret isu edah - Mas Ermieyati

BACA: Biar dalam tempoh edah, Mastura yakin mampu galas tanggungjawab

Walau apapun, siapa calon rasmi hanya akan diketahui dalam masa kurang 24 jam lagi.

Tidak ada sesiapa boleh menghalang proses pendemokrasian ini. Apa yang pasti ikut tatasusila kempen yang diadakan pada bulan puasa.

Realitinya, kehilangan tokoh tidak dapat diganti namun elemen kesinambungan itu perlu diteruskan untuk kemajuan dan kemakmuran penduduk di Sungai Besar serta Kuala Kangsar.

Al Fatihah...