INSIDEN kehilangan helikopter yang membawa lima orang penumpang dan salah seorangnya merupakan ahli kabinet benar-benar mengejutkan pada saat-saat akhir jam berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.

Ia menyekat sementara momentum kempen dan kini doa serta simpati seluruh rakyat negara ini termasuk penyokong kerajaan dan pembangkang sentiasa berharap keselamatan mereka yang ada di dalam helikopter berkenaan.

Dalam pada itu, masing-masing masih lagi tertumpu dengan kawasan majoritinya Cina untuk selain bagaimana menawan kembali kerusi berkenaan yang hangat diperkatakan sejak 2008 berkaitan tsunami Cina atau tsunami bandar.

Lazimnya orang Cina dilihat akan memberi sokongan kepada kerajaan kerana mereka mahukan perubahan selepas lanjutan permintaan mereka sebelum ini tidak dipenuhi pembangkang.

Di dalam konteks orang-orang Cina yang berada di kawasan pekan atau bandar, pemikiran politik ini tidak sama dengan pemikiran orang Cina di tempat lain, terlalu berbeza.

BACA: Adenan yakin BN mampu mengembalikan sokongan kaum Cina

BACA: Fadillah yakin tsunami politik 2011 tidak berulang di Sarawak

BACA: Adenan mahu kaum Cina ada dalam kerajaan pimpinannya

Politik kaum

Malaysia masih menitikberatkan politik kaum, di Sarawak sahaja ada lebih kurang 40 kaum dan dengan 82 kerusi, sudah tentu kaum yang mewakili majoriti akan mendapat perhatian.

Kali ini kaum Cina berada dalam segmen perhatian, namun selepas 2013 berlalu, mereka melihat masih belum lagi mendapat peralihan yang diperlukan,

Pada peringkat awal 2008, pergi ke 2011, dan kemudian 2013, orang Cina merasakan perlunya ada peralihan dan ia dianggap satu alternatif apabila dilihat perkataaan 'rakyat' yang diungkap pakatan pada masa itu dilihat semakin mantap.

Mereka juga melihat keupayaan di bawa pakatan rakyat pada masa itu, tetapi apabila melihat ia tidak berjaya akhir-akhir ini, sokongan mereka juga sedikit demi sedikit mula teralih.

Maksudnya, orang Cina yang kita faham kini bukanlah terlampau taksub politik namun mahu perhitungan baik dalam setiap komitmen yang diberikan dalam politik bukan secara buta tuli semata-mata.

Orang Cina jelas mahu melihat kepentingan mereka terjaga dan dalam mengawal isu itu, populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mula memasuki peranannya.

Adenan melihat orang Cina bukan dalam konteks kaum pendatang dan sebahagian daripada Malaysia dan Sarawak sendiri. - Gambar Hiasan
Sebenarnya kita masih tidak tahu adakah Adenan diterima atau tidak, kerana semuanya adalah anggapan sahaja sehingga benar-benar secara rasmi memenangi PRN Sarawak dengan penuh gaya.

Apa yang pasti, apabila Adenan sudah mula merasakan denyut nadi Cina, kaum itu juga merasakan Adenan ini alternatif kepada permintaan mereka lebih-lebih lagi apabila isu autonomi dibangkitkan.

Nada Cina

Adenan melihat orang Cina bukan dalam konteks kaum pendatang dan sebahagian daripada Malaysia dan Sarawak sendiri.

Adenan mempunyai kuasa perundingan yang tinggi, dia menghitung satu persatu aspirasi Sarawak untuk dibawa bersama di dalam pentadbirannya.

Dalam konteks ini, DAP sudah tidak ada apa lagi yang hendak ditawarkan, mereka sudah ketandusan idea dan kelemahan DAP ini ditakrif Cina sebagai masa paling sesuai untuk bersatu semula memberi sokongan kepada kerajaan.

Semasa tsunami dahulu, mereka lihat kekuatan pakatan rakyat dengan kombinasi pimpinan sebagai alternatif namun ianya gagal.

Orang Cina terus mencari alternatif dan bagi mereka, Adenan adalah orang yang boleh bertolak ansur, jadi mereka akan memberi Adenan peluang dan mereka akan nilai kemampuan Adenan selepas itu.

Pasti, orang Cina akan memberi peluang walaupun pasti akan menghitung jasa Adenan sebagai penanda aras mereka tidak akan berpaling semula kepada DAP.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Bawang Assan menyaksikan persaingan lima penjuru pada PRN Sarawak kali ini. - Foto Astro AWANI
Daripada 15 kerusi majoriti kaum Cina yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini, hanya Bawang Assan dimenangi BN pada 2011.

DAP akan mempertahankan 12 kerusi manakala PKR satu.

Satu lagi adalah kerusi baharu yang diwujudkan di Batu Kitang yang akan ditandingi oleh PKR.

Hari Kemanusiaan

Feng Shui adalah sistem estetika Cina kuno, dan sering dianggap sebagai suatu bentuk seni selain sudah dipraktikkan di seluruh dunia dan telah ada sekitar 4,000 tahun yang lalu.

Feng Shui juga memiliki sisi spiritual dengan banyak ajarannya merupakan hubungan spiritual di antara pelbagai aspek kehidupan.

Kerana itu tarikh membuang undi pada 7 Mei ada kelebihannya. Ia merupakan Hari Kemanusiaan kepada orang Cina pada setiap bulan.

Jadi kombinasi tarikh dan peristiwa sudah memberi sedikit kelebihan kepada Cina untuk memberi yang terbaik pada 7 haribulan itu sendiri.

Gelombang populariti Adenan ini dilihat alternatif terbaik kepada kaum Cina. - Foto Bernama
Orang Cina ini tidak mudah dipermainkan dengan persepsi, mereka juga bukan didorong emosi namun nahu janji yang boleh direaliti.

Dalam hal ini, kepercayaan kepada Adenan sudah mula timbul apabila melihat usaha pemimpin ini dalam masa dua tahun yang berusaha sedaya upaya memenuhi impian rakyat Sarawak dan menyelesaikan isu tertunggak.

Sebelum ini, mereka melihat konsep 'Ubah' yang dibawa pembangkang mungkin boleh melindungi kepentingan mereka namun setelah hampir satu penggal, ia nampak hanya janji kosong yang tidak kesampaian.

Oleh itu, gelombang Adenan ini dilihat alternatif terbaik kepada mereka. Boleh atau tidak Adenan menguasai minda pengundi Cina, semuanya akan terjawab tidak lama lagi.


*Wan Syamsul Amly adalah wartawan Astro AWANI yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ketika ini.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

*Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com