PENARAFAN sesebuah pilihan raya dan kecenderungan sokongan serta kemenangan kepada parti yang bertanding boleh dilihat menjelang saat-saat akhir berkempen.

Pada saat ini, kempen yang agresif atau sebarang cubaan untuk mencipta sebarang isu baru dilihat tidak terlalu mempengaruhi pengundi yang sudah mempunyai bayangan di benak fikiran mereka parti mana yang akan diundi pada Sabtu.

Konsep itu dilihat berasas selepas lanskap kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 yang berbeza daripada kempen-kempen PRN sebelum ini.

Isu kempen

Pembangkang pada kali ini banyak memainkan isu-isu nasional yang tidak ada kena mengena dengan pembangunan negeri Sarawak.

Isu melibatkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sudah dijawab Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan jaminan tiada kenaikan kepada 10 peratus seandainya BN menang kali ini.

Hairan juga kerana pembangkang tidak berani membangkitkan sebarang isu tempatan yang jelas sudah diselesaikan satu persatu oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

BACA: Sekilas fakta PRN Sarawak yang anda perlu tahu

BACA: PKR Sarawak tuntut lima perkara pada sidang media bawah pokok

VIDEO: Penyokong calon DAP dan Bebas bergaduh

Pembangkang pada kali ini banyak memainkan isu-isu nasional yang tidak ada kena mengena dengan pembangunan negeri Sarawak.
Jika ada isu berbangkit lain, ia pasti sedang di dalam proses penyelesaian dan pastinya ia membangkitkan rasa gentar kepada pembangkang.

Kebijaksanaan Adenan yang menggabungkan kekuatan calon serta parti pada kali ini harus dilihat strategi serampang dua mata untuk menawan pengundi.

Seseorang calon yang mempunyai kelebihan boleh menang kemudiannya ditambah ramuan Team Adenan menjadikannya pakej terbaik untuk rakyat Sarawak di setiap 82 DUN yang ada.

Sebagai contoh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah mula mendapat perhatian daripada kaum Cina yang melihat tawaran manifesto Adenan sebagai pelengkap sekali gus pencerahan kepada pengundi terutama kepada mereka yang masih berada di atas pagar.

VIDEO: Eksklusif bersama TPM Ahmad Zahid Hamidi

VIDEO: Temubual eksklusif bersama Tan Sri Adenan Satem

VIDEO: Memahami isu dan aspirasi orang ulu


Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah mula mendapat perhatian daripada kaum Cina yang melihat tawaran manifesto Adenan sebagai pelengkap sekali gus pencerahan kepada pengundi.
Persediaan akhir

Kebiasaannya, sesebuah parti akan melihat tiga sudut utama iaitu calon boleh menang, kerusi dan isu sebagai faktor menang atau kalah mereka di dalam pilihanraya.

Dalam konteks ini, Team Adenan mempunyai kelebihan apabila bertanding dengan parti-parti kecil seperti DAP, PKR, Pas, Amanah yang tidak lagi bergabung di bawah kumpulan pakatan yang selama ini dibangga-banggakan.

Semua calon Team Adenan sudah mendapat isyarat seragam dan hanya menunggu masa menterjemah aspirasi itu apabila rasmi memenangi kerusi yang ditandingi selepas hari Sabtu ini.

Sebagai contoh, laporan calon PKR kerusi N72 Lambir, Mohdar Ismail yang dimalukan seorang penduduk di sebuah rumah panjang boleh menjadi salah satu faktor penolakan pembangkang di sana.

Mohdar kelihatan dihalau keluar kerana didakwa berkelakuan 'kurang ajar' ketika rombongan PKR itu mahu berkempen dan menemui penghuni rumah panjang tersebut.

Ia sekali gus penanda aras yang boleh melonjakkan undi lagi BN di kawasan itu pada PRN kali ini selepas menang dengan majoriti 1,521 undi pada PRN 2011.

Mohdar akan bertemu calon Pas, Mohammad Arifiriazul Paijo mewakili PAS dan calon BN, Ripin Lamat dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).




Video berdurasi 30 saat antara lain memaparkankan calon PKR dihalau seorang penduduk semasa berkempen di rumah panjang di Lambir - Sumber YouTube Mynewshub Channel


Kisah memalukan itu tidak berlaku pada Team Adenan, merujuk kepada pelbagai penulisan di media sosial, temuramah serta kajian-kajian PRN Sarawak kali ini, faktor nilai murni yang ada dalam diri Adenan itu sendiri memastikan perkara negatif itu dijauhi.

Pastinya laungan frasa kaum Iban 'Ooo-Haa' yang ditakrif Adenan 'Saya Sayang Sarawak' setiap kali bertemu masyarakat menjadi kunci kemesraan itu berkekalan.

Selain 'Ooo-Haa', promosi Adenan kepada frasa 'You-You' yang membawa maksud seruan sesama sahabat atau lebih tepat membawa maksud 'tahu sama tahu' turut menjadi satu jaminan tidak ada yang akan dikecualikan.

Rayuan Adenan

Nilai murni Adenan merupakan contoh kepimpinan yang dikehendaki rakyat secara total. Pemimpin senior ini hanya mahu diberi peluang untuk memimpin selama lima tahun lagi untuk menyelesaikaan 'hutang' kemajuannya kepada rakyat Sarawak.

Pada 2011, ada pengundi yang mengatakan mahu memberi peluang kepada pembangkang selepas diracun dakyah negatif kononnya negeri itu tidak maju di bawah BN namun selepas lima tahun, pengundi dapat melihat sendiri prestasi pembangkang yang disokong mereka dahulu hanya menumpang tuah di limpahan kemajuan yang dibawa BN.

Mereka yang memberi peluang kepada pembangkang sebelum ini kini boleh mempertimbangkan semula rayuan Adenan untuk diberikan undi kepadanya pada Sabtu ini.

Hakikatnya semua pengundi mempunyai hak masing-masing untuk memilih calon mereka. - Foto Bernama
Kira-kiranya mudah, jika BN tidak baik, masakan pelbagai kemajuan dilakukan termasuk di kawasan bandar yang majoritinya dipegang pembangkang sendiri.

Dalam hal ini, apa lagi yang boleh dikata melainkan bantulah untuk memenuhi rayuan Adenan dan menanti proses kemajuan yang akan disalurkan di kawasan masing-masing untuk lima tahun akan datang.

Pastikan PRN 2016 menjadi rujukan kejayaan BN untuk masa akan datang, jadikan ia PRN terbaik kepada semua agensi yang terlibat serta undi paling manis yang membawa 1,001 faedah untuk rakyat Sarawak.

Tempoh kempen menghampiri penutupnya, semua sudah jelas, sama ada manifesto atau ceramah yang dibuat oleh semua parti yang bertanding, tidak ada sesiapa boleh menafikan kuasa pengundi kerana keputusan akhir tetap ada di tangan mereka.

Konsepnya, semua pengundi mempunyai hak masing-masing untuk memilih calon mereka.

Mengejar sasaran 70 kerusi untuk BN itu hasrat utama Adenan, tentu ia tidak mustahil jika jentera kembali kepada penarafan, mengkaji sasaran dan semuanya pasti akan berjalan baik mengikut perancangan.

Jadikan garisan penamat PRN sebagai indikasi menghampiri garisan cemerlang untuk Sarawak, demi Sarawak.


*Wan Syamsul Amly adalah wartawan Astro AWANI yang sedang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ketika ini.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

*Untuk liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com