KUALA LUMPUR: Pertabalan Raja Charles sebagai Raja Britain yang turut memainkan peranan sebagai pemimpin negara-negara Komanwel diyakini akan mengukuhkan lagi Deklarasi Langkawi dalam usaha memulihara alam sekitar global.

Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Samsudin memberitahu, Putera Charles sebelum ini banyak menyuarakan isu global dan alam sekitar.

"Hubungan baik Malaysia bersama Britain dan negara-negara Komanwel dapat dipertingkatkan terutamanya melibatkan isu pemuliharaan alam sekitar.

"Sebelum ini baginda selalu menyuarakan isu global dan alam sekitar.

"Jadi saya rasa ini adalah sesuatu yang boleh Malaysia mainkan kerana melalui badan Komanwel kita pernah mengisytiharkan Deklarasi Langkawi mengenai alam sekitar dunia.

"Saya rasa dengan ini hubungan Malaysia dalam Komanwel dengan Britain dapat dibangunkan dalam pemuliharaan alam sekitar," katanya kepada Buletin AWANI pada Ahad.

Raja Charles III: Isu pemeliharaan alam sekitar antara keutamaan

Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Negara Komanwel menandatangani Deklarasi Langkawi dalam usaha memulihara alam sekitar pada 2019.

Idea deklarasi itu adalah cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bermatlamat menangani konflik pemulihan alam sekitar yang dihadapi dunia agar dapat diselesaikan secara berperingkat.

Melalui Deklarasi Langkawi, ketua-Ketua kerajaan Komanwel telah mengambil ketetapan untuk menangani bersama melalui program-program tindakan pemuliharaan alam sekitar dengan cepat.

Dalam pada itu, Mohd berkata, Raja Charles III yang sebelum ini mempunyai pengalaman luas sebagai Putera Wales dan menggalas sebahagian tanggungjawab mendiang ibunya Ratu Elizabeth diyakini dapat memainkan peranannya sebagai seorang raja dengan baik.

Namun, katanya, baginda perlu meletakkan fokus kepada beberapa isu penting bersama negara Komanwel dan secara umum.

"King Charles ada kelebihan, sebagai Putera Wales dan 10 tahun terakhir mendiang Ratu Elizabeth, baginda banyak memainkan peranan sebagai wakil ratu.

"Jadi baginda tiada masalah untuk teruskan legasi, namun orang ramai akan membandingkan Raja Charles dengan ibunya.

"Ini mungkin sesuatu yang sukar kepada baginda untuk keluar dari kepompong Ratu Elizabeth," ujarnya.