KUALA LUMPUR:Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai sepenuhya selepas Al-Sultan Abdullah berangkat meninggalkan Istana Negara pada jam 6.06 petang pada Ahad.

Difahamkan, perbincangan tersebut tamat pada jam 5.00 petang selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat berangkat pulang pada jam 5.14 petang.

Keberangkatan pulang baginda kemudian disusuli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pula dilihat keluar meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 5.54 petang.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat pulang pada jam 5.56 petang disusuli Sultan Kedah, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tiga minit kemudian.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Tiada keperluan darurat, berhenti main politik - Titah Agong

Al-Sultan Abdullah yang dilihat meninggalkan Istana Negara tujuh minit kemudian sempat melambai sekali lagi kepada petugas media sebelum pintu utama Istana Negara ditutup.

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat Perdana Menteri berhubung cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri baru-baru ini.

Susulan itu, baginda mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu hari ini (Ahad) dalam membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan rakyat supaya tenang, tidak panik dan elak dari menimbulkan spekulasi berhubung situasi terkini dalam negara.

Berhubung kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat baginda supaya rakyat terus memainkan peranan masing-masing.

Mereka juga diingatkan supaya berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu bagi mengekang penularan koronavirus tersebut.