KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) hari ini mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kesepakatan itu dicapai hasil pertemuan beliau bersama pimpinan utama PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).

"Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada Rabu.

Terdahulu Perdana Menteri menerima kunjungan delegasi PH di pejabat beliau di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Dalam pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu, Ismail Sabri berkata, kesemua mereka sepakat mencari titik persamaan demi agenda kepentingan rakyat.

"Ia tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan," kata Ismail Sabri lagi.

Menurut beliau, inisiatif pertemuan itu adalah sebagai menzahirkan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu meredakan suhu politik negara.

BACA: PH tiada masalah jika PM komited tangani COVID-19, ekonomi rakyat - Anwar