Pertemuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin adalah bukti Tun Mahathir kurang keyakinan kepada Parti Bersatu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia sekali gus menunjukkan kecelaruan Tun Mahathir sendiri menyokong penuh Presiden Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mempersoalkan jika tindakan itu juga akan disusuli dengan pengakuan Tun Mahathir mengenai pertuduhan Datuk Seri Anwar selama ini.

BACA: Perjumpaan Tun Mahathir, Anwar tindakan politik terdesak - TPM

BACA: Pertemuan Tun Mahathir-Anwar: 'UMNO jangan sombong dan berlagak' - Armand

"Saya tidak terperanjat, ini adalah Tun Mahathir, pakar politik yang memimpin negara hampir 22 tahun.

"Sekarang ini saya persoalkan adakah selepas ini, beliau akan membuat pengakuan mengenai pertuduhan ke atas Datuk Seri Anwar tidak berlaku?

"Takkan salam sahaja, kan? Takkan Anwar masuk penjara dan Tun Mahathir bebas, jadi soalan saya apakah langkah seterusnya?," kata Azalina dalam satu sidang media di sini, pada Selasa.

Katanya, jika ini adalah strategi yang perlu dibuat bagi parti, Azalina bersetuju kemungkinan Tun Mahathir tidak mempunyai keyakinan terhadap parti baharu itu.

"Susah nak komen, saya rasa kedua-dua mereka mempunyai banyak persamaan, iaitu hari ini kawan, esok lawan, hari ini lawan, esok kawan.

"Itu perbezaan mereka dengan kami, walaupun kedua-dua mereka adalah bekas pemimpin UMNO, ini adalah satu keadaan yang memang kalau kita tengok pemimpin di negara barat kalau mereka berhenti, bermakna mereka betul-betul berhenti.

"Tapi dalam negara kita, walaupun mereka dah berhenti, mereka dah pencen, mereka masih boleh berkecimpung dalam politik," kata Azalina.

Sebelum ini, Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata Tun Mahathir yang dilihat bersalaman dengan Anwar hanyalah tindakan terdesak selepas mengetuai usaha untuk membentuk sebuah parti politik baharu.

Salleh juga menyamakan tindakan itu sebagai: "Mahathir's kiss is a kiss of death".

Tun Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pertemuan antara dua veteran politik itu adalah yang pertama sejak 18 tahun.