Kerajaan akan mempertimbangkan model pembelajaran dari negara Eropah seperti Jerman dalam usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ini merupakan sebahagian daripada beberapa langkah yang sedang dinilai Kerajaan dan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia untuk menarik minat belia bagi melibatkan diri dalam bidang ini.

Pengerusi Jawatankuasa TVET, Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan berhubung denfan pihak-pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas yang diperlukan untuk memperkasakan TVET.

"Perjumpaan dengan Kementerian Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan adalah fasa pertama sebelum beberapa lagi langkah lain untuk mereformasikan struktur TVET.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran atas peluang pertemuan ini bagi mencari langkah terbaik untuk memperkasakan TVET," kata Izzah dalam sidang media selepas pertemuan tersebut di Kementerian Sumber Manusia pada Isnin.


Sementara itu, Kulasegaran yang turut hadir dalam sidang media tersebut menyatakan komitmen penuh dalam merealisasikan usaha kerajaan untuk memperkasakan TVET.

"Kita lihat kini masih ada kekosongan di Pusat-pusat Latihan TVET.

"Oleh itu, pemerkasaan TVET ini penting supaya belia dapat merebut peluang dalam bidang ini," katanya.