KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh bagi menampung kenaikan kos sara hidup sama bagi meringankan beban rakyat.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, negara jiran Singapura juga telah mengumumkan pakej bantuan sebanyak S$1.5 bilion (RM4.76 bilion) bagi menyalurkan kemudahan bersasar dan segera untuk kumpulan berpendapatan rendah serta mudah terjejas akibat tekanan inflasi.

"Mutakhir ini wujud ura-ura untuk kenaikan tarif elektrik. Bagaimana pun, kita tunggu keputusan Kerajaan dalam masa terdekat.

"Jika tarif elektrik dinaikkan, ia akan lebih membebankan lagi rakyat Malaysia dan kos sara hidup akan terus meningkat.

"Sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk rakyat menanggung sepenuhnya kenaikan kos sara hidup tanpa sebarang bantuan terus dari Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kerajaan perlu memberikan rebat elektrik dan air, baucar makanan asas kepada isi rumah yang layak serta bantuan-bantuan lain yang wajar kepada sektor swasta.

Tambah Zahid lagi, memandangkan keadaan fiskal negara yang terhad, maka penggunaan teknologi dan pengagihan bantuan bersasar berdasarkan data yang tepat amatlah diperlukan.

"Ini bagi memastikan bantuan yang disalurkan tidak terjatuh ke tangan yang salah atau kurang layak.

"Selain daripada itu, saya sekali lagi ingin mencadangkan agar Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat sekali lagi dengan segera agar pandangan setiap NGO, pemain industri dan sektor swasta berkepentingan dapat diambil kira dan dipertimbangkan.

"Pakej Bantuan khusus bagi menampung kenaikan inflasi atau kos sara hidup ini boleh dilakanakan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 kerana ia begitu mustahak dan dan kritikal," ujarnya.