KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menjangkakan momentum perkembangan ekonomi negara akan terus kukuh pada suku ketiga tahun ini, didorong oleh prestasi yang menggalakkan dalam perdagangan luar dan sektor pelancongan yang memberansangkan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, begitupun kerajaan akan kekal berhati-hati untuk separuh kedua 2022 apabila prospek ekonomi masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan yang lebih sederhana.

Keadaan itu, jelas beliau dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global terutamanya disebabkan konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan dan kelembapan ekonomi China berikutan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang ketat.

"Risiko-risiko tersebut telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global bagi tahun 2022 daripada 3.6 peratus kepada 3.2 peratus

"Selain itu, tekanan inflasi yang lebih tinggi berikutan harga komoditi dan makanan yang dijangka meningkat, serta gangguan rantaian bekalan global yang berlanjutan turut menjadi faktor yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pemulihan pasaran pekerjaan.

BACA: KDNK: Tumbuh 8.9 peratus, diunjur terus berkembang tahun ini - Gabenor

Pertumbuhan itu juga lebih kukuh berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2022, sekali gus menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata antara petunjuk ekonomi yang menunjukkan trend aliran pertumbuhan termasuk kadar pengangguran yang menurun kepada 3.8 peratus pada Jun lalu.

Kadar pengganguran tersebut, jelas beliau adalah terendah sejak COVID-19 melanda negara dengan sejumlah 630,000 penganggur berbanding 826,000 pada Mei 2020.

Dalam pada itu, beliau menambah MoF ketika ini sedang giat menyediakan Bajet 2023 melalui konsultasi dan libat urus dengan pelbagai sektor ekonomi dan negeri bagi memastikan bajet tersebut memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Antara keutamaan, kata Tengku Zafrul termasuk pengurusan subsidi yang lebih mampan, pembaharuan ekonomi, serta pengukuhan daya tahan negara terhadap kejutan masa depan.

"Berikutan cabaran serius ketidaktentuan geopolitik dan perubahan iklim, inisiatif yang berkaitan dengan kemampanan juga akan dipertimbangkan secara lebih meluas.

"Seiring dengan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Bajet 2023 akan terus mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya dari segi peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial.

"Usaha pembaharuan ekonomi juga akan diberi keutamaan untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang serta peningkatan daya saing dalam perniagaan dan rantaian nilai," ujarnya lagi.