KUALA LUMPUR: Malapetaka sebagaimana keruntuhan di Gunung Jerai, Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu masih boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. 

Sehubungan itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru kepada orang ramai agar bersedia menghadapi pelbagai jenis malapetaka pada masa hadapan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, bencana Gunung Jerai yang mengorbankan enam nyawa itu boleh berlaku sekali lagi di gunung berkenaan atau di kawasan pergunungan lain dalam negara.

"Dalam ingatan penduduk, malapetaka seperti ini tidak pernah berlaku. Tetapi kini ia sudah berlaku. Apakah ia akan berlaku lagi? Jawapannya ialah, ia bukan sahaja boleh tetapi tetap akan berlaku.

"Mungkin tidak di Gunung Jerai tetapi di pergunungan lain di Malaysia. Dan mungkin sekali lagi atau lebih di Gunung Jerai. 

"Kenapa ia akan berlaku lagi? Sebabnya ialah kerana perubahan iklim," katanya dalam catatan di blognya chedet.cc, hari ini.

BACA: Bencana Gunung Jerai: Kerajaan pusat salur bantuan segera RM75 juta

BACA: Bencana Gunung Jerai: Kerajaan negeri nilai semula chalet dibina atas rizab sungai

Dr Mahathir berkata, perubahan iklim yang berlaku mungkin merupakan ulangan perubahan planet selama berjuta tahun atau akibat kepanasan disebabkan kehidupan manusia yang sekarang berjumlah 8 billion.

"Tiap seorang dari kita memanas iklim hanya dengan kita bernyawa. Tetapi kita juga membakar semasa (memasak) masakan, untuk panas kesejukan musim sejuk sekeliling kehidupan kita.

"Demikian juga binatang yang mengeluar gas. Jumlah binatang ternakan lebih dari jumlah manusia. Demikian juga binatang liar," tambahnya

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Malaysia turut merasai kenaikan suhu akibat perubahan iklim.

BACA: RUU Perubahan Iklim, ini 5 perkara perlu diberi perhatian oleh Menteri Alam Sekitar dan Air

BACA: SMC lancar PANAS!: Pusat rujukan untuk isu alam sekitar, perubahan iklim

Kenaikan suhu, jelasnya, mengakibatkan salji mencair dan semakin banyak kawasan ditenggelami air, selain kepanasan matahari yang menyebabkan air di permukaan bumi menjadi wap, yang bertukar menjadi awan.

"Apabila sudah banyak wap dan suhu turun kerana tingginya awan, wap menjadi air dan turun ke bumi sebagai hujan.

"Lebih tinggi suhu, lebih banyak awan dan lebih lebatlah hujan. Sebab itu hujan di Gunung Jerai menjadi begitu lebat, mencairkan lumpur dan turun dengan pantas sebagai air terjun," katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, rakyat Malaysia bernasib baik.

"Hujan lebat sepanjang masa membasahkan bumi dan menghalang kebakaran.

"Pokok-pokok hutan menstabilkan bumi dan menyerap air. Kepanasan juga diserap oleh pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan," tulis beliau di hujung catatannya.