PASIR PUTEH: Jabatan Pertanian Kelantan memperuntukkan hampir RM1 juta bagi melaksanakan program penanaman semula pokok kelapa tua di negeri tersebut, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau berkata langkah tersebut juga bertujuan menjadikan Kelantan sebagai antara hab pengeluar kelapa di negara.

Katanya ketika ini Kelantan berada di kedudukan ketiga pengeluar utama kelapa selepas Perak dan Johor.

"Kelantan menghasilkan 76,673.80 metrik tan kelapa pada tahun lepas.

"Kedudukan itu sejajar dengan hasrat kementerian untuk menjadikan industri kelapa sebagai hasil baharu kepada rakyat selepas kopi," katanya kepada pemberita selepas melawat projek tanaman kelapa di Kampung Gong Tengah di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pengusaha muda, Badrul Amin Hamzah, 26, berkata beliau mengusahakan varieti kelapa Sungai Gulang-gulang (SGG) di kawasan seluas 4.56 hektar sejak 2018.

"Sebahagian daripada 996 pokok sudah mula mengeluarkan hasil. Saya jangka semua pokok yang ditanam akan mula mengeluarkan hasil kira-kira 100,000 biji setahun yang mampu memberi pulangan kira-kira RM100,000 setahun," katanya.

-- BERNAMA