KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tidak mahu memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya menegaskan ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

Menurut Perdana Menteri, rundingan sebegitu pernah dipraktikkan ketika kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya tidak pernah mengatakan tidak ada (peruntukan). Sepanjang Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi Perdana Menteri, kita (pembangkang) tak dapat peruntukan.

"Tetapi tak apa, ini (Kerajaan) Madani maknanya mesti adil. Maknanya Pagoh dulu tak adillah? Tetapi saya tidak mahu zalim.

"Apa yang berlaku semasa kerajaan di bawah Bera (Ismail Sabri) tidak mula dengan begitu (sahaja). Ia bermula dengan rundingan... rundinglah cara elok dan bincang kaedahnya.

"Saya cadangkan ada proses rundingan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan mengenai peruntukan kepada pembangkang seperti dijanjikan Anwar.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau tidak menolak prinsip memberi peruntukan kepada pembangkang seperti mana yang diterima oleh Ahli-Ahli Parlimen kerajaan

Begitu pun, jelas Perdana Menteri, setakat ini proses rundingan belum berlaku, sebaliknya apa yang ada hanyalah 'proses permusuhan'.

Anwar menambah, beliau juga tidak mahu mewujudkan sebarang unsur pergaduhan antara kerajaan dan pembangkang.

"Saya akan tanya bagaimana Kedah, Perlis, Kelantan juga Terengganu...kalau ada persefahaman itu, bolehlah jalan (berikan peruntukan).

"Jadi mulakan proses rundingan, kalau cepat selesai, cepat lulus. Kalau selesai (rundingan) esok, lusa kita lulus," katanya.