KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan mengurangkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan) itu berkata pemotongan peruntukan kepada Ahli Parlimen bukan satu permulaan yang baik dalam usaha Kerajaan Perpaduan bertekad merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi, antara tiga wilayah di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mengambil kira saiz keluasan Parlimen yang jauh lebih besar di Sabah dan Sarawak, beliau berkata peruntukan kerajaan perlu dikekalkan, malah wajar ditambah bagi mengatasi masalah kedaifan dan kemiskinan rakyat.

"Ingin saya tegaskan bahawa saya menyokong penuh usaha kerajaan mengawal kewangan negara melalui perbelanjaan berhemah dan menyelesaikan isu governans, rasuah, dan salah guna kuasa.

"Namun, dalam mencapai matlamat ini, saya amat sekali tidak bersetuju peruntukan kebajikan rakyat yang selama ini telah dijadikan platform untuk membela nasib rakyat dikorbankan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Isnaraissah berkata peruntukan yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen digunakan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan dan bukannya untuk tujuan peribadi.

Berbeza dengan bantuan-bantuan semasa yang disediakan oleh kerajaan, beliau berkata peruntukan Ahli Parlimen juga mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan.

"Rakyat lebih cenderung memohon bantuan daripada Ahli Parlimen melalui peruntukan khas yang lebih cepat dan dekat. Ini realitinya.

"Justeru, saya mohon Perdana Menteri mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat dan mencadangkan agar diadakan perjumpaan dengan semua ahli Parlimen serta agensi yang terlibat di samping, mengutamakan penambahbaikan tadbir urus, tata kelola, dan integriti berbanding langkah pemotongan peruntukan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal kewangan