KUALA LUMPUR: Peruntukan RM10 juta bagi mengukuhkan peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi Belanjawan 2023 dilihat sejajar dengan agenda memerangi jenayah penipuan dalam talian atau 'scam' di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata inisiatif memerangi jenayah berkenaan amat bertepatan dengan suasana keselamatan siber semasa yang semakin mencabar susulan peningkatan kes serta nilai kerugian.

"Sebagai agensi pakar teknikal keselamatan siber, CSM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan teknikal kepada NSRC khususnya dalam bidang berkaitan penyiasatan forensik digital terutamanya dari aspek penyiasatan jenayah scam dan penipuan dalam talian.

"Di CSM, kami menerima laporan insiden keselamatan siber daripada orang ramai melalui Cyber999, iaitu lebih 70 peratus laporan tersebut melibatkan penipuan dalam talian termasuk scam setiap tahun," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Sementara itu, Amirudin berkata CSM turut mengalu-alukan dasar 'kill switch' kepada semua institusi perbankan memandangkan aspek keselamatan amat penting dalam era teknologi digital yang perlu sentiasa diperkukuhkan berikutan modus operandi penjenayah siber yang sering berubah dan kompleks.

"Maka, kuasa yang diberi kepada pengguna untuk mengambil tindakan sendiri bagi membeku akaun termasuk kad ATM adalah wajar bagi membina sikap kawal kendiri serta mempertingkatkan kepentingan kesedaran keselamatan siber kepada pengguna Internet," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 hari ini mengumumkan kerajaan menyediakan RM10 juta bagi geran pengoperasian sebagai usaha mengukuhkan peranan NSRC berikutan jenayah penipuan dalam talian atau 'scam' kini semakin parah.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pada 2022 sahaja, lebih 25,000 jenayah berkenaan direkodkan dengan kerugian sebanyak RM850 juta.

Katanya, Bank Negara juga akan menguatkuasakan dasar 'kill switch' kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

-- BERNAMA