DUNGUN: Tambahan peruntukan sebanyak 50 peratus kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada RM59.82 juta dalam Belanjawan 2023 berbanding RM39.8 juta sebelum ini mampu merancakkan pertumbuhan di wilayah itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan itu membolehkan pelbagai agenda pembangunan termasuk projek jaminan bekalan makanan dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berharap supaya peruntukan berkenaan dapat digunakan secara efektif untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada kira-kira 200,000 warga Ketengah.

"Peruntukan tinggi kepada agensi (Ketengah) memperlihatkan harapan tinggi KKDW untuk rakyat menikmati pembangunan melalui belanjawan yang dibentangkan semalam," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Ketengah di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini pada Sabtu.

Terdahulu Ahmad Zahid turut menyaksikan majlis penyerahan Tabung Bencana Bumi Turkiye-Syria yang disumbangkan melalui kutipan derma daripada warga Ketengah dan anak syarikatnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi cadangan supaya pihak pengurusan Ketengah yang menguruskan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman supaya memaksimumkan penggunaan sumber yang ada bagi memacu perkembangan di wilayah berkenaan.

Ahmad Zahid berkata terdapat 17 produk dan destinasi pelancongan yang berpotensi yang telah dikenal pasti di wilayah itu yang berpotensi untuk diketengahkan bagi menarik pengunjung dari dalam dan luar negeri, sekali gus dapat menjana ekonomi wilayah.

"Tasik Kenyir yang kaya dengan kelestarian alam mempunyai potensi cukup besar jika promosi dilakukan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar. Selain itu ia juga pulau bebas cukai yang perlu dimanfaatkan bagi memajukan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA