"Eh, saya di mana ni ya? Saya dah makan ke belum hari ini?".

Itu antara soalan yang diulang Nek Rahmah (bukan nama sebenar), seorang warga emas yang menghidap penyakit Alzheimer atau lebih dikenali sebagai nyanyuk, ketika ditemui di Pusat Jagaan Husna Arrashid, Taman Melawati, baru-baru ini.

Nek Rahmah sering terlupa apa yang disebut dan dilakukannya. Dalam pertemuan itu juga Nek Rahmah turut memberitahu penulis bahawa sudah 10 tahun beliau menginap di pusat jagaan berkenaan, walaupun hakikatnya beliau mula menjadi penghuni di situ baru saja awal tahun ini.

Seorang pesakit Alzheimer yang mahu dikenali sebagai Nek Rahmah (kiri) ketika ditemui di Pusat Jagaan Husna Arrashid. -- Gambar ihsan Rumah Husna Arrashid

Namun begitu, apa yang istimewa mengenai Nek Rahmah ialah beliau mempunyai ingatan yang cukup kuat akan kenangan bersama arwah suami dan anak.

"Suami saya Yusuf Marchuki, dulu dia kerja drebar (pemandu teksi), lama dah dia meninggal dunia. Seorang anak saya pula, Abdul Rahman sekarang kerja akauntan profesional.

"Saya tidak boleh lupa saya menangis teresak-esak masa hantar Abdul Rahman belajar di Amerika Syarikat dulu, sampai sekarang saya masih teringat kenangan itu dan saya bangga dengan dia," kata Nek Rahmah yang selepas itu kembali lupa apa yang dikatakannya.

Bukan sebahagian penuaan

Penyakit Alzheimer ialah penyakit neurodegeneratif, atau penyusutan sel saraf otak yang berlaku secara berperingkat dan progresif.

Penyakit ini juga adalah punca utama demensia, iaitu pelbagai gejala atau sindrom yang timbul disebabkan oleh kemerosotan fungsi otak.

Disebabkan itu, individu yang menghidap penyakit Alzheimer akan menunjukkan perubahan yang ketara terhadap keupayaan mental dan sosial.

Biarpun risiko penyakit Alzheimer meningkat pada lewat usia, tetapi penyelidik percaya ia ‘bukan sebahagian daripada penuaan normal’ kerana tidak semua warga emas menghidap penyakit ini.

Profesor Madya Dr Rahimah Ibrahim, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM). --fotoBERNAMA

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Rahimah Ibrahim berkata, keupayaan mental yang terjejas teruk menyebabkan pesakit sukar menjalani kehidupan seharian dan memerlukan penjaga untuk mengawasi dan menguruskan keperluan mereka untuk jangka masa panjang.

“Antara isu utama yang timbul melibatkan pesakit Alzheimer ialah kebanyakan penjaga atau ahli keluarga tidak menyedari bahawa warga emas di bawah jagaan mereka menghidap penyakit berkenaan. Ini kerana kebanyakan pesakit tidak didiagnosis di samping terdapat ahli keluarga yang melihat perkara itu sebagai proses penuaan normal dan tidak memerlukan tindakan lanjut,” katanya.

Dr Rahimah, yang juga sebahagian daripada ahli projek kajian jangka panjang mengenai ‘kerapuhan kognitif’ yang melibatkan kolaborasi penyelidik daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di Malaysia berkata, penjaga pesakit Alzheimer perlu terlebih dahulu maklum akan tahap-tahap penyakit berkenaan.

"Alzheimer tahap ringan biasanya melibatkan perbuatan berulang-ulang bercakap perkara yang sama, mengalami masalah mencari perkataan, nama dan objek, dan sering menghilangkan barang. Bagi tahap sederhana pula, mereka mudah ‘hilang arah’ walaupun berada di tempat yang biasa mereka berada serta seringkali memerlukan bantuan untuk tugasan harian seperti memakai baju dan membersihkan diri.

“Tahap teruk pula, pesakit memerlukan bantuan penjaga sepenuhnya kerana mereka sudah tidak dapat memahami perkataan yang biasa digunakan dan tidak mampu menjaga diri sendiri lagi.

"Kita tidak mahu kegagalan penjaga mengurus pesakit ini menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah lain,” katanya sambil menambah Alzheimer membuatkan pesakit seolah-olah 'hanyut' di dalam dunia imaginasi mereka sendiri dan boleh mengakibatkan penjaga tidak mampu memahaminya.

Tingkat ilmu, kesedaran

Data terkini yang dikeluarkan Persekutuan Pertubuhan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI) menunjukkan pesakit Alzheimer di seluruh dunia dijangka meningkat daripada 35.6 juta pada 2010 kepada 65.7 juta (2030) dan 115.4 juta (2050).

Penyakit Alzheimer biasanya dihidapi oleh golongan yang berumur 65 tahun ke atas. (gambar hiasan) --fotoBERNAMA

Pada 2020, Malaysia mempunyai 3.4 juta warga emas atau hampir 11 peratus daripada populasi. Ini bermakna satu daripada 10 orang penduduk adalah individu yang berumur lebih 60 tahun.

Dengan peningkatan populasi warga emas, sistem sokongan dalam masyarakat perlu dipertingkatkan bagi membantu ahli keluarga yang menjaga warga emas yang menghidap Alzheimer.

Dr Rahimah berkata, penjaga atau ahli keluarga perlu mendapatkan maklumat secukupnya berhubung pengurusan pesakit, terutamanya kaedah untuk memudahkan mereka mengurus dan mengurangkan tekanan kepada pesakit.

"Tatacara menguruskan pesakit Alzheimer tidak sama seperti menguruskan warga emas yang normal, lagipun setakat ini penyakit ini tiada penawarnya. Ada yang menganggap mereka sudah nyanyuk, maka ramai yang mula menyisihkan warga emas ini sedangkan mereka memerlukan penjagaan rapi.

"Masyarakat perlu berusaha mendapatkan maklumat mengenai Alzheimer menerusi pelbagai program kesedaran yang dilaksanakan di sekitar mereka supaya dapat meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai penyakit ini. Ramai di antara kita mempunyai ibu atau bapa yang semakin tua maka ilmu ini mungkin berguna suatu hari nanti," katanya.

Antara cara komunikasi berkesan dengan pesakit yang boleh diamalkan penjaga ialah dengan menggunakan ayat arahan ringkas dan bahasa badan, serta mengelakkan penggunaan kata-kata berbentuk provokasi yang boleh melukakan hati mereka.

Selain menyarankan penjaga perlu dibekalkan ilmu untuk merancang rutin harian dan stimulasi mental serta mengalih perhatian pesakit, beliau pada masa sama turut mencadangkan supaya pihak berkaitan seperti pertubuhan bukan kerajaan dapat mempertingkatkan program kesedaran berkaitan penyakit Alzheimer dan teknik penjagaan warga emas termasuk di kawasan luar bandar.

Ambil langkah pencegahan

Datuk Dr Yim Khai Kee, Pengerusi Exco Jawatankuasa bagi Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM). --fotoBERNAMA


Berkongsi pandangan, Pengerusi Exco Jawatankuasa bagi Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM), Datuk Dr Yim Khai Kee berkata, beberapa langkah pencegahan boleh diambil sebagai usaha mengurangkan risiko penyakit Alzheimer terutama bagi generasi muda.

“’Sifir mudahnya’, sejak awal kita perlu menjaga dan mengawal tabiat pemakanan. Kurangkan atau elakkan terus pengambilan makanan segera dan amalkan gaya hidup sihat dengan memperbanyak aktiviti bersenam.

“Jangan fikir hanya kerana masih muda, kita sewenang-wenangnya meneruskan tabiat merokok, mengambil minuman beralkohol, tidak menguruskan stres dengan baik. Ini semua boleh menjadi punca utama penyakit Alzheimer apabila umur semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak terlibat dapat menambah jumlah pusat jagaan khas bagi pesakit Alzheimer di seluruh negara memandangkan peratusan warga emas yang menghidap penyakit itu di negara ini semakin meningkat.

“Setakat ini, hanya ada enam pusat jagaan harian di sekitar Lembah Klang. Jumlah ini terlalu sedikit untuk menampung jumlah pesakit Alzheimer yang semakin bertambah. Kita harap setiap negeri perlu diwujudkan sekurang-kurangnya satu pusat jagaan harian khas untuk pesakit Alzheimer,” katanya.

(Artikel ini ditulis oleh Muhammad Basir Roslan bersempena Hari Alzheimer Sedunia yang disambut setiap 21 September)