GEORGE TOWN: Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak membenarkan seorang pesakit COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) untuk pulang ke rumah kerana berisiko menyebarkan wabak tersebut sekiranya keluar dari hospital.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Ma'arof Sudin berkata pesakit itu, Affendy Mohd Yusof telah dimasukkan ke wad ICU di HPP selepas disahkan positif COVID-19 dan berada di tahap empat.

Katanya hasil pemeriksaan awal menunjukkan penurunan kadar oksigen dalam darah pesakit pada tahap membimbangkan dan rawatan terapi oksigen sudah dijalankan.

Bagaimanapun, beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati keadaan pesakit bertambah kritikal dan perlu distabilkan dengan menggunakan alat bantuan pernafasan ventilator.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dan video yang ditularkan dalam media sosial Facebook semalam berkenaan isu Affendy yang mendakwa dirinya paksa ditahan di ICU dan menghubungi Gerakan Post-Mortem COVID-19 (GPMC) untuk meminta bantuan agar dapat keluar daripada hospital berkenaan.

GPMC adalah sekretariat gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa membantu mangsa atau waris mangsa yang mengalami kerugian dah kehilangan akibat pengambilan vaksin.

Dr Ma'arof, dalam kenyataan hari ini, berkata pegawai perubatan pakar rawatan rapi dan ICU telah memaklumkan dan memberi penjelasan tentang keadaan kritikal itu kepada pesakit dan ahli keluarganya.

Menurutnya pihak hospital juga telah menjelaskan berulang kali akan keadaan kritikal itu kepada ahli keluarga dan pesakit sendiri tentang risiko yang boleh membahayakan nyawa pesakit sekiranya tidak membenarkan pihak hospital memberikan rawatan tersebut.

Katanya namun pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang disyorkan dan berkeras mahu pulang atas risiko sendiri.

Beliau berkata pihak hospital tidak dapat membenarkan pesakit berkenaan pulang ke rumah kerana bimbang akan risiko pesakit menyebarkan jangkitan COVID-19 kepada orang lain serta keadaan pesakit yang kritikal.

Mengenai dakwaan tidak dibenarkan makan selama empat hari ketika berada di ICU di hospital tersebut, Dr Ma'arof berkata pihak HPP menafikan perkara itu dan mengatakan pesakit di ICU diberikan makanan dalam bentuk cecair seperti susu untuk memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

"Pihak hospital sentiasa prihatin dan meneruskan pemantauan terhadap pesakit itu dan akan berhubung untuk memberi maklumat berkala dengan ahli keluarga pesakit," katanya.

-- BERNAMA