SHAH ALAM: Biarpun disahkan menghidap kanser kolon atau usus tahap empat sejak dua minggu lepas, ia tidak mematahkan semangat Dr Anis Mardiana Abdullah hadir bagi mengambil skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Konvokesyen ke-95 Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Anis Mardiana, 45, yang kini tidak boleh berdiri dalam tempoh lama akibat daripada penyakit yang dihadapinya itu, tetap menggagahkan diri untuk berdiri ketika menerima skrol PhD dalam bidang pengangkutan dan logistik daripada Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Ibu satu anak itu berkata beliau tidak mahu menyusahkan pihak universiti untuk menolaknya di atas kerusi roda, selain mahu cuba bertahan untuk berdiri pada hari bersejarahnya.

Katanya, beliau turut tidak menyangka namanya dipilih sebagai penerima Anugerah Hadiah Buku Inovasi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC).

"Masa saya belajar (PhD), saya tidak mempunyai simptom yang teruk hanya tangan yang menggeletar ketika menulis, yang saya sangka ia disebabkan stress.

"Lepas tamat belajar, saya membuat pemeriksaan dan mendapati saya menghidapi kanser tiroid. Tetapi, disebabkan kesihatan saya bertambah teruk, saya pergi membuat pemeriksaan lanjut dan doktor sahkan saya ada kanser kolon tahap empat," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen di sini hari ini.

Tambah Anis Mardiana, beliau akan menjalani pembedahan berkaitan penyakitnya itu pada minggu hadapan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur.

"Kalau ikut kata doktor sudah lama penyakit ini, tetapi, kita tidak rasa sakit. Saya berharap pembedahan berjalan lancar," kata wanita yang tidak lekang senyuman di bibirnya.

Sementara itu, penerima Ijazah Sarjana Perubatan Patologi dan Anatomi Dr Siti Shakinah Sobri, 36, berkata walaupun sedang menunggu hari bagi melahirkan anak sulongnya, wanita itu tetap tidak mahu melepaskan peluang hadir pada istiadat konvokesyen tersebut.

Beliau yang kini bertugas di bahagian patologi Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis itu berkata pada awalnya, hasrat menghadiri istiadat itu dihalang suaminya.

"Kandungan sekarang sudah 36 minggu, tetapi saya mahu datang juga sebab mahu berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan (rakan sarjana).

"Asalnya suami tidak bagi sebab sedang sarat mengandung, tetapi dia temankan juga saya pada majlis hari ini," katanya.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana Perubatan kepada 116 graduan.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 (Sesi Disember 2021) berlangsung pada 26 Nov sehingga 21 Dis 2022 dengan menyaksikan seramai 31,220 graduan, akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini.

-- BERNAMA