TEMERLOH: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai terjun dari tingkat tujuh bangunan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan memaklumkan kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam.

Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 19 tahun itu merupakan salah seorang pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital terbabit.

"Berdasarkan laporan doktor, mangsa menerima rawatan kerana demam panas dan jangkitan kuman di otaknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azhar, kejadian itu juga tiada sebarang kaitan dengan unsur jenayah.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HoSHAS untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis di mana-mana balai berdekatan," katanya.