Pergerakan Pemuda UMNO hari ini bukan sahaja berani dalam setiap tindakan tetapi juga menjadi penyelesai setiap masalah anak muda.

Exco Pemuda UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, setiap laungan kepada anak muda bukan lagi retorik memekik-mekik namun disempurnakan dengan gerak kerja yang tersusun.

"Di kala dasar kerajaan dilihat tidak memperjuangkan kepentingan rakyat, Pemuda UMNO bangkit mempertahankan. Di kala ratusan anak muda perlukan bantuan pekerjaan, pemuda bangkit laksanakan BN Job Fair, di kala anak muda perlukan perjuangan pendidikan Pemuda bersama Jelajah Pendidikan Bumiputera.

"Bila banjir melanda pantai timur Pemuda UMNO hadir sebagai sukarelawan, kalau ikutkan pelbagai lagi yang dilaksanakan oleh Pemuda UMNO di bawah Khairy Jamaluddin.

"Program-program baru juga dilaksanakan contohnya program jom Belajar Coding, Malaysian Cybergames, Malaysian Dragrace, Program Tusyen Percuma, Road To Hajj dan pelbagai lagi program yang mengikut peredaran zaman," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

BACA: Pemuda UMNO mesti jadi 'anak jantan' - Tajuddin

BACA: BN bukan parti untuk orang lama, perlu nampak segar - Khairy

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Pergerakan Pemuda UMNO perlu bangkit menjadi anak jantan mempertahankan parti dan kepimpinan daripada terus ditohmah dan dihina.

Tegasnya, berdasarkan pandangan umum sekarang, ramai ahli Pemuda dilihat hanya berdiam diri dan membiarkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) diserang dari pelbagai sudut.

Dalam pada itu kata Armand, pihaknya turut mengucapkan terima kasih di atas kenyataan Tajuddin.

"Namun untuk makluman Tajuddin, kita sentiasa konsisten menjadi anak jantan bagi UMNO. Di kala kepimpinan UMNO diserang , pemuda UMNO akan bangkit pertahankannya," ujarnya.

Sebelum ini, Khairy berkata BN perlu menampilkan imej yang lebih segar dan tidak boleh dipandang sebagai parti untuk orang lama sahaja.

Sehubungan itu tegasnya, setiap calon daripada BN yang akan dipilih pada pilihan raya umum (PRU) akan datang perlulah dilihat sebagai yang mampu mewakili bukan sahaja generasi muda, malah semua lapisan rakyat.