Pesara LAP mengaku terima rasuah RM6,000

Sinar Harian
Februari 28, 2024 03:05 MYT
Mohd Zulhairi didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - Foto Sinar Harian
IPOH: Seorang pesara Lembaga Air Perak (LAP) didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini kerana menerima rasuah sebanyak RM6,000.
Tertuduh, Mohd Zulhairi Mohd Zailani, 61, membuat pengakuan tersebut selepas faham pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan LAP di Pusat Operasi LAP Wilayah Barat, Taiping menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada Mohamed Maslan Sheikh Mohamed Noor dari November 2011 hingga Februari 2018.
Perbuatan itu dilakukan dengan suatu balasan sebagai upah bagi memperakukan tuntutan bayaran kerja Syarikat Mohamed Maslan Sheikh Mohamed Noor untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaiki paip air di LAP Wilayah Barat meliputi kawasan Larut, Matang dan Taiping.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Hakim Datuk Ibrahim Osman kemudian menjatuhi hukuman denda RM10,000 dan penjara sebulan jika gagal melunaskan denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor bersama Pegawai Pendakwa, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian
#Rasuah #Mahkamah Sesyen Ipoh #upah memperakukan tuntutan bayaran kerja #pesara LAP