BESUT: Kesukaran berbasikal terutama di tempat awam mendorong seorang pesara polis mencipta basikal roda tiga yang mesra orang kurang upaya (OKU) dengan menggunakan barangan terpakai.

Menurut Ramli Aziz,62, dari Kampung Padang Luas, Jerteh, Terengganu, pergerakan terbatas selepas dia kehilangan kaki kanannya sejak 18 tahun lalu akibat masalah kegagalan pembuluh darah.

Menurut Ramli, dia membina sendiri basikal berkenaan berikutan kebanyakan model yang dijual di pasaran tidak sesuai digunakan oleh golongan OKU.

"Saya membina basikal ini dalam masa enam hari, tidak sampai dua minggu.

"Yang memakan masa adalah idea macam mana mahu membina basikal ini supaya ia berfungsi dengan baik.

"Walaupun saya hanya menggunakan bahan kitar semula, insyaAllah basikal ini boleh digunakan golongan OKU," katanya.

Menurut Ramli, semasa dalam perkhidmatan, dia sering menyertai aktiviti lasak termasuk mendaki, kenderaan pacuan empat roda dan  menganggotai kelab pesawat kawalan jauh.

Dia berharap dapat menambah baik ciptaannya serta menghasilkan lebih banyak produk daripada bahan kitar semula bagi kemudahan insan senasib dengannya.

Jelasnya, walaupun tanpa pendidikan formal namun dengan pengalaman yang dikongsi bersama rakan membolehkannya mencipta sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.