Pesara polis lumpuh tidak lupa mengundi

Sahlizah Mohamed
April 9, 2019 05:22 MYT
Azahari Latif dibantu oleh anaknya, Azmel semasa membuang undi di Balai Polis Rantau pada Selasa. - Gambar ihsan UTUSAN MALAYSIA
Seorang pesara polis yang lumpuh tetap menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Balai Polis Rantau pagi tadi.
Azahari Latiff, 58, yang jawatan terakhirnya Lans Koperal dibawa ke pusat pengundian oleh anaknya Azmel, 26, menaiki kereta.
“Saya rasa amat penting untuk setiap rakyat keluar mengundi. Saya sendiri keluar mengundi dalam keadaan begini.
“Keadaan sekarang ini kerajaan kita tak menentu. Ada sikap perkauman. Jangan ada sikap perkauman sepatutnya,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Rantau untuk membuang undi sebagai pengundi awal PRK Rantau.
Beliau mengalami lumpuh akibat terlibat dalam satu kemalangan 10 tahun lalu.
Katanya, selagi mampu, beliau akan tetap menunaikan tanggungjawab mengundi sebagai seorang rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Azmel turut melahirkan rasa kagum melihat semangat bapanya meskipun dalam keadaan diri yang tidak begitu mengizinkan.
Menurut Azmel, bapanya tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kecuali pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu kerana baru selesai menjalani pembedahan membuang batu karang.
#Pesara polis lumpuh #prk rantau #tidak lupa mengundi