Gara-gara dikatakan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600, seorang pesara warga emas terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 15 April lalu apabila wanita berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Suspek meminta mangsa menjelaskan hutang tunggakan cukai sebanyak RM17,600. Namun mangsa menafikan mempunyai tunggakan cukai berkenaan.

"Mangsa kemudian diminta untuk bercakap dengan Sarjan Kumarasin iaitu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kononnya boleh membantu menyelesaikan kes berkenaan.

"Selepas bercakap dengan Sarjan Kumarasin, panggilan itu disambung pula dengan seorang pegawai polis mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, ketika bercakap dengan pegawai Bukit Aman itu, mangsa menyerahkan sebanyak tiga kali nombor TAC kepada suspek yang kononnya sedang membantu menyelesaikan kes berkenaan.

"Tidak lama kemudian, mangsa yang tidak berpuas hati meminta seorang rakannya yang bekerja dengan sebuah bank menyemak akaun miliknya dan mendapati wang berjumlah RM49,800 sudah lesap," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang berasa dirinya sudah ditipu oleh sindiket berkenaan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini semalam.

"Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan kesalahan," katanya.