GUA MUSANG: Seorang pesara tentera mengabadikan kenangan bertempur dengan komunis melalui lukisan mural di dinding rumahnya.

Abu Bakar Jusoh, 66, yang tinggal di Taman Jabatan Perumahan Negara (JPN), Gua Musang, Kelantan rela berhabis ribuan ringgit mengupah pelukis mural untuk menyemarakkan semangat patriotiknya.

Abu Bakar berharap mural itu akan menyuntik semangat patriotik serta menjadi tatapan masyarakat setempat.

"Pada ahun 1950, 16 askar Melayu telah terkorban di Sungai Semur dan tahun 1943, 24 anggota polis telah terkorban sehingga pihak komunis berjaya menawan balai polis.

"Begitu banyak sejarah di Gua Musang ini," katanya.

Selain itu Abu Bakar menyeru kepada rakyat Malaysia khususnya golongan belia untuk hayati perjuangan orang yang terdahulu dan penuhilah semangat kemerdekaan ini dengan jiwa yang terbuka dan bukan hanya melaungkannya di sekolah pada 31 Ogos.

Abu Bakar memulakan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 28 April 1974 di Pusat Latihan Rekrut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Antara pengalaman Abu Bakar ketika berkhidmat dengan ATM adalah menyertai Operasi Cahaya Bina di Thailand, operasi serang hendap pengganas komunis di Batu 30 Lebuh Raya Timur-Barat serta operasi memburu komunis di Lata Janggut, Jeli pada awal 80-an.