KUALA LUMPUR: Golongan pesara akan turut menerima bantuan tunai langsung sebanyak RM350 walaupun perkara itu tidak disebut semasa pembentangan Bajet 2023 Jumaat lepas.

Kementerian Kewangan (MoF) hari ini menjelaskan bahawa peruntukan Bantuan Khas Kewangan RM350 kepada pesara bakal dibuat pada Januari 2023.

"Bantuan Kewangan Aidilfitri berjumlah RM300 pula bakal dibayar pada bulan Mac 2023 kepada satu juta pesara," demikian menurut MOF dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian itu, pihaknya mengambil maklum bahawa Bajet 2023 masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen yang bakal bersidang semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun kementerian berpendapat pihaknya perlu memberi pencerahan mengenai beberapa perkara yang kurang jelas atau telah disalah tafsir berhubung Bajet 2023.

Menurut MOF ini kerana terdapat kekangan masa untuk Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperincikan segala butiran mengenai lebih 200 inisiatif semasa pembentangan belanjawan tersebut.

-- BERNAMA