KUALA TERENGGANU: Seorang pesara wanita berputih mata apabila menyedari diperdaya hampir RM200,000 selepas menjadi mangsa sindiket love scam di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian bermula awal Julai lalu selepas mangsa berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook.

Jelasnya, mangsa berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan hadiah sekeping cek bernilai AS$145,000 (kira-kira RM650,000).

"Selepas itu, mangsa diarah membuat pembayaran bagi melepaskan cek yang dijanjikan di mana mangsa telah membuat 13 transaksi ke dalam satu akaun bermula 10 hingga 17 Ogos lalu membabitkan pembayaran sebanyak RM124,000.

"Mangsa kemudian berkenalan pula dengan seorang lagi lelaki menerusi Facebook sebelum berurusan melalui WhatsApp dan ditawarkan hadiah barangan kiriman berupa wang tunai dan barangan perhiasan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, selepas itu mangsa sekali lagi diminta membuat pelbagai bayaran untuk melepaskan barang kiriman dengan pihak Kastam membabitkan 13 transaksi ke dua akaun berbeza dalam tempoh enam hari bermula 23 Ogos lalu dengan nilai pembayaran sebanyak RM75,550.

Mangsa bagaimanapun tidak menerima hadiah yang dijanjikan dan menanggung kerugian sebanyak RM199,550.

Mangsa yang menyedari dirinya diperdaya membuat laporan polis pada Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Abdul Rahim dalam pada itu mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang dikenali menerusi laman sosial bagi mengelak terjerat dengan penipuan seperti love scam.