Para pesawah di Asun, Jitra, Kedah mengeluh kerana mengalami kerugian disebabkan banjir.

Antara lain mereka mendakwa lebih 114 hektar sawah musnah sekali gus mendatangkan kerugian kepada mereka akibat hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lepas.

Mereka yang terjejas terdiri daripada lebih 20 petani Kampung Natoi yang baru sahaja memulakan kerja sawah mereka pada musim ini.

Salah seorang pesawah Basri Harun berkata kerugian yang bakal dialaminya boleh mencecah sehingga RM10,000 disebabkan sawah padinya tenggelam.

Harapan mereka supaya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Jabatan Pertanian Negeri mengambil inisiatif segera bagi mengatasi masalah banjir kilat itu sekali gus menyelamatkan periuk nasi mereka.