IPOH: Kira-kira 1,000 jemaah umrah di Perak di bawah kelolaan Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) terpaksa menangguhkan urusan ke Tanah Suci Mekah susulan masalah penyusutan jumlah penerbangan harian.

Presiden Puhaz, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, kesemua jemaah terbabit merupakan antara 20,000 hingga 30,000 bakal jemaah di seluruh negara yang sepatutnya berlepas pada bulan ini terpaksa menangguhkan perjalanan berkenaan.

Menurut Mohd Ali Sabri, pihaknya telah berusaha mendapatkan tarikh penerbangan yang sesuai sejak tiga bulan lalu, namun, masih belum mendapat maklum balas daripada syarikat peberbangan.

“Setakat ini kami sudah membuat permohonan untuk penerbangan umrah yang membabitkan dua pesawat daripada Saudi Airlines, walau bagaimanapun masih tiada jawapan.

“Jadi setakat Ogos, jemaah yang terbabit di bawah kelolaan kami adalah kira-kira 1,000 orang jemaah,” katanya dalam sidang media di Meru Raya, dekat sini, pada Isnin.

Justeru, kata beliau, pihaknya memohon agar pihak syarikat penerbangan dapat mempercepatkan proses penambahan pesawat bagi bulan September dan seterusnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, tidak timbul isu penipuan umrah kerana masalah yang berlaku tidak melibatkan agensi pelancongan dan umrah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Puhaz, Abdul Jabbar Abdul Kahar meminta semua agensi di bawahnya untuk menunda atau mencari tarikh baharu penerbangan serentak bakal jemaah umrah dari Perak.

"Bagi yang terpaksa tunda, tarikh baharu akan diperoleh pada tahun ini sekiranya terdapat penerbangan tambahan dan berharap semua jemaah dapat menyokong tindakan Puhaz ini," katanya.

Sejak awal bulan ini, difahamkan pengendali umrah berdepan kesukaran untuk menghantar jemaah ke Tanah Suci susulan kekurangan pesawat, sama ada membabitkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

Media turut melaporkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 bakal jemaah umrah Malaysia yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci bulan ini terpaksa menangguh perjalanan masing-masing berikutan jumlah penerbangan harian ke Arab Saudi ketika ini menyusut dengan ketara.