SEBERANG JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pesawat pejuang Hawk yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth pada Selasa malam.

Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan tanpa mengulas lanjut berkata, siasatan akan menjurus kepada aspek teknikal ke atas nahas.

"Kita akan buat siasatan terperinci, berhubung nahas tersebut," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ), awal pagi Rabu.

Terdahulu, Mohd Asghar Khan tiba di HSJ sekitar jam 1.50 pagi melawat mangsa yang terbabit dalam nahas itu.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa, seorang juruterbang terkorban manakala seorang cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.

BACA: Pesawat pejuang TUDM terhempas: Juruterbang cedera berada dalam keadaan stabil

Juruterbang yang terkorban dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di HSJ dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mereka melakukan latihan penerbangan malam.