IPOH: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mengumumkan hasil siasatan awal kemalangan pesawat ringan yang mengorbankan seorang juruterbang di Ipoh, awal Ogos lalu, dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata laporan berkenaan disiapkan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara MoT.

"Mengikut prosedur operasi standard (SOP), Bahagian Siasatan Kemalangan Udara di bawah MoT perlu mengemukakan laporan awal mengenai nahas itu dalam masa sebulan.

"Bagaimanapun saya belum melihat laporan itu kerana tugasan di luar pejabat.

"Untuk laporan lengkap pula, lazimnya oleh kerana ini melibatkan aspek teknikal, kita akan terus serahkan kepada CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) untuk melakukan tindakan berdasarkan kepada peraturan antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Perak di Dewan Bulan Sabit Merah di Ipoh pada Ahad.

Dalam kejadian pada 1 Ogos lalu, juruterbang pesawat berkenaan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, terkorban di tempat kejadian selepas pesawat ringan dikendalikannya terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, di sini

Rakannya Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pula mengalami kecederaan.