Pesawat TUDM terbang rendah semasa Eksesais Ababil 2021 mulai 7 September

Bernama
September 5, 2021 07:45 MYT
Orang ramai diingatkan supaya agar tidak risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah sepanjang tempoh eksesais. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Eksesais Ababil 2021 di Pangkalan Udara Labuan dan Kota Belud mulai 7 hingga 17 September ini melibatkan ruang udara Borneo serta perairan sekitarnya.
TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, eksesais itu bertujuan menilai kecekapan juruterbang-juruterbang TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab bagi melindungi kedaulatan negara.
"Selain itu, eksesais ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan dalam pelaksanaan tugas operasi bersama melibatkan pesawat daripada pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
"Sepanjang eksesais berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan," menurut kenyataan itu.
TUDM turut memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah sepanjang tempoh eksesais.
-- BERNAMA
#TUDM #eksesais ababil #Labuan #Kota Belud