Peserta dari negara China mendominasi kejohanan memancing Kenyir Cup 2012 yang menawar hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 bermula Ahad hingga Khamis ini di Sungai Leban dan Sungai Merah di Tasik Kenyir.

Mereka terdiri daripada 150 peserta manakala 50 lagi merupakan penduduk Terengganu sendiri.

Kejohanan dianjurkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata lapan orang peserta akan bertanding menggunakan rumah bot dengan menggunakan konsep tangkap dan lepas.

"Setiap rumah bot itu akan turut disertai seorang marsyal yang akan merekodkan berat, panjang dan spesis ikan bagi setiap tangkapan termasuk mengambil gambar ikan sebagai bukti.

"Kenyir Cup 2012 telah mendapat pengiktirafan daripada International Game Fish Association iaitu badan sukan memancing antarabangsa," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kejohanan yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said semalam.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Toh Chin Yaw berkata kerajaan negeri kini giat mempromosikan Tasik Kenyir sebagai syurga kaki pancing kepada negara China yang mempunyai 100 juta pemancing daripada 1.5 bilion penduduknya.

"Di China, setiap daerah mempunyai persatuan pemancing yang aktif dalam kegiatan rekreasi itu. Malah terdapat satu saluran televisyen khas untuk memapar aktiviti dan kejohanan memancing di serata dunia yang disiarkan selama 24 jam dan Tasik Kenyir turut mendapat liputan agensi berita negara itu," katanya.

Beliau berkata dengan kemudahan infrastruktur yang bertambah baik di Tasik Kenyir, peluang untuk menambah kehadiran pemancing dari China sangat besar tambahan pula kerajaan negeri kini giat mempromosikan tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara itu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.