BAGAN SERAI: Sejak empat tahun lalu, setiap kali menjelang Aidilfitri seluruh pelusuk kampung di Bagan Serai pasti akan diterangi cahaya pelita sempena ‘Pesta Panjut’.

Bagaimanapun, sambutan tahun ini jauh lebih meriah apabila negara memasuki fasa peralihan endemik COVID-19 yang menyaksikan banyak prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, apa yang lebih penting adalah Pesta Panjut dapat mengeratkan lagi perpaduan masyarakat kampung di samping meningkatkan kerjasama sesama mereka.

"Saya melihat seluruh kampung itu daripada kanak-kanaknya, daripada orang dewasa termasuklah warga-warga emas turun membantu untuk menceriakan kampung mereka.

"Yang paling pentingnya bukanlah kemenangan semata-mata tetapi konsep bersama gotong-royong itu yang saya tekankan.

"Di samping kemeriahan sempena nak sambut, sempena bulan Ramadan dan juga nak sambut Syawal. Hadiah kita bagi tahun ini agak lumayan, johan akan menerima RM7,000, tempat kedua RM4,000, tempat ketiga RM2,000 manakala tempat keempat RM1,000," katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan proses perjurian di 18 kampung yang mengambil bahagian, pada Rabu malam.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Perak berkata, pihak penganjur juga memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap kampung yang mengambil bahagian bagi membolehkan mereka membuat persiapan.

Namun, berdasarkan kepada pengamatan dan tinjauan Astro AWANI, kos untuk membuat panjut di kampung-kampung itu mencecah ribuan ringgit.

Ketua Projek Panjut di Kampung Batu 3, Parit Jawa, Razali Abu Bakar berkata, mereka membelanjakan lebih RM7,000 untuk menyediakan panjut yang mengandungi lebih 2,430 biji pelita.

"Dari segi peruntukan sebenarnya kita menerima RM1,000 saguhati daripada penganjur, yang lain-lain itu semua kita terima daripada orang kampung.

"Kita terima sumbangan ini dalam tiga bentuk. Yang pertama kita terima sumbangan dalam bentuk kewangan, so mana-mana pihak yang tidak mampu nak bagi komitmen dari segi tenaga dan juga idea, dia boleh bagi sumbangan dalam bentuk duit,supaya kita guna. Kalau tak mampu nak bagi duit dia boleh bagi dalam bentuk sumbangan tenaga, yang mana tak mampu nak beri tenaga, dia boleh bagi buah fikiran," katanya.

Keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah Pesta Panjut itu akan diadakan Sabtu ini, sempena majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada golongan yang memerlukan.