KOTA KINABALU: Kabinet negeri Sabah menyokong pembinaan kemudahan gas asli cecair (LNG) berhampiran pantai pertama Sabah oleh syarikat minyak nasional Petronas di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata projek LNG itu yang tertakluk kepada 'keputusan pelaburan akhir' pada 2022, merupakan langkah dalam hala tuju yang betul ketika kerajaan negeri berusaha mencari lebih banyak janji niaga untuk mendapatkan hasil tambahan menerusi penyertaan ekuiti.

"Projek LNG berhampiran pantai itu adalah hasil daripada kajian bersama antara kerajaan negeri dan Petronas untuk mengenal pasti pilihan penjanaan keuntungan yang optimum daripada gas untuk memaksimumkan ekonomi sampingan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan susulan kunjungan hormat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim Ali di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan mencari lebih banyak pilihan bagi memastikan rakyat Sabah meraih manfaat daripada sektor minyak dan gas negeri.

Loji LNG baharu itu dijangka meningkatkan jumlah pengeluaran LNG daripada 2.7 kepada 4.7 juta tan metrik setahun (MTPA), menambah dua juta lagi MTPA kapasiti pengeluaran LNG di negeri ini.

"Sebaik beroperasi kelak, loji LNG itu akan mengukuhkan lagi ekosistem tenaga kerja dan syarikat tempatan dengan kemahiran khusus untuk menjalankan operasi dan menyokong perkhidmatan," kata ketua menteri.

 
Sumber Facebook yabhajiji

Loji LNG berhampiran pantai itu akan dibangunkan di SOGIP yang mana gas akan dibekalkan daripada lapangan gas Sabah menerusi Saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) sedia ada.

Aktiviti Reka Bentuk Kejuruteraan Menyeluruh (FEED) bagi projek itu akan bermula pada lewat Oktober 2021 manakala loji LNG berhampiran pantai dijangka bersedia untuk dimulakan pada akhir 2026.

Minyak & Gas | PETRONAS bina kemudahan LNG pertama di Sabah

-- BERNAMA