KUALA LUMPUR: PETRONAS terus komited menghasilkan sumber minyak dan gas negara meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran semasa termasuk agenda global ke arah transisi tenaga yang hangat diperdebatkan ketika ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Datuk Adif Zulkifli berkata, dalam konteks Malaysia, syarikat akan sentiasa memenuhi permintaan pengguna domestik, walaupun harga minyak tidak menentu.

“Kami juga membekalkan jumlah gas yang agak signifikan kepada sektor kuasa dan ia sangat penting dalam memastikan keperluan terhadap bekalan sumber elektrik mencukupi kepada semua.

“Selaras dengan itu, PETRONAS mengunjurkan peningkatan pengeluaran kepada 2.7 million barrels of oil equivalent (mboe) sehari berbanding 2.4 mboe  ketika ini dalam usaha memenuhi permintaan yang dijangka positif dan memulih pada masa hadapan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Menurut Adif, kadar penyusutan semulajadi minyak dan gas adalah sekitar 10 hingga 15 peratus dari tahun ke tahun.

Agenda AWANI: Facing headwinds in the O&G industry

“Minyak dan gas merupakan sumber terhad yang mana lebih banyak kita hasilkan, lebih berkurangan kadar sumber tersebut. Justeru, kami perlu terus giat mencari sumber-sumber dan pemuliharaan baharu untuk memastikan sumber bekalan berterusan.

“Perkara ini sangat mencabar, bagaimanapun kami berusaha mengoptimumkan kapasiti pengeluaran… syarikat turut memberi fokus terhadap kecekapan operasi dalam memastikan fasiliti-fasiliti berjalan seperti diharapkan. Menerusinya, kami berharap dapat mengekalkan tahap pengeluaran dalam masa sama membangunkan kapasiti baharu melalui program eksplorasi yang lebih agresif,” ujarnya.

Jelas beliau, PETRONAS sedang giat melaksanakan projek pembangunan baharu dan meluluskan beberapa projek yang akan dijalankan di dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang. Ini akan memacu kapasiti pengeluaran daripada 2.4 mboe kepada 2.7 mboe  sehari.

“Kami sedar pasaran minyak adalah tidak menentu ketika ini tetapi syarikat percaya bahawa masih terdapat permintaan tenaga yang sihat pada masa hadapan. Walaupun keadaan kemelesatan ekonomi merupakan cabaran untuk kita semua, syarikat mengambil langkah pelaburan jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata syarikat berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab bagi teknologi carbon capture and storage (CCS) / penangkapan dan penyimpanan karbon di peringkat Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

“Selepas projek CCS pertama, Kasawari di luar persisir Sarawak, kami bakal memperkenalkan satu lagi projek CCS baharu yang dipanggil Lang Lebah. Projek-projek CCS ini dijangka menyumbang kepada pelan sasaran capaian Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 (NZCE 2050) bagi masa depan mampan.

“Apa yang baiknya tentang CCS ini adalah kami menggunakan infrastruktur minyak dan gas sedia ada dan jajaran paip juga boleh diguna semula, malah karbon yang ditangkap itu juga boleh dipindahkan ke lokasi penyimpanan menggunakan kapal dan kemudahan ini sudah ada meskipun dalam skala yang kecil ketika ini,” jelasnya.

Selain itu, PETRONAS mempunyai kapabiliti pekerja sedia ada contohnya driller, geologist dan petroleum engineer yang boleh dipertingkatkan kemahiran untuk menjalankan aktiviti CCS.

PETRONAS mencatatkan prestasi kewangan yang mantap dengan keuntungan bersih meningkat sebanyak 89 peratus kepada RM30.8 bilion pada suku ketiga 2022 berbanding RM16.3 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.