KUALA LUMPUR: PETRONAS akan menaja seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).

Ia merupakan jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh PETRONAS dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Kumpulan PETRONAS, Farehana Hanapiah berkata, PESP berbeza berbanding biasiswa pendidikan lain kerana ia bukan sahaja menitikberatkan kepada penajaan pendidikan berbentuk kewangan, malah mempersiapkan pelajar dengan sahsiah terpuji.

“Kami bukan sekadar memberi penajaan dari sudut kewangan untuk membiayai pembelajaran pelajar kami, malah ada pelbagai jenis program pembangunan pelajar yang dilakukan setiap tahun untuk memupuk bakat kepimpinan mereka.

"Pada masa akan datang, kami memerlukan lebih ramai bakat-bakat yang mempunyai daya pemikiran tinggi, untuk dapat menyelesaikan masalah dan cabaran yang akan datang selain mengekalkan daya saing di peringkat global.

“Selain dari itu, aspek sosial dan emosi serta nilai-nilai murni akan dipupuk di kalangan pelajar-pelajar melalui program pembangunan pelajar ini “ katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada hari Selasa.

Sementara itu, penerima PESP, Brandon Wilson Anak Dewel, 18, berkata, dia merupakan anak keempat daripada lima beradik dan bakal melanjutkan pengajian ijazahnya dalam program kimia gunaan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Katanya, menerusi biasiswa PESP tersebut, ia sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan pendidikan ditanggung keluarga dan dirinya.

"Melalui program PESP ini, Petronas bukan sahaja membiayai yuran pengajian kami malah kami turut diberikan elaun seperti elaun buku, peralatan belajar dan induksi (Onboarding Allowance). 

"Ini sedikit sebanyak membantu untuk saya menyara hidup di UTP kelak sebagai pelajar," ujarnya.

Di samping itu, penerima PESP, Nur Ezhani Zulaikha binti Abdul Aziz, 18, berkata, dia yang akan meneruskan pengajian dalam kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti di United Kingdom itu berasa terharu apabila terpilih untuk menerima penajaan ini.

“Pastinya saya berasa amat gembira dan bangga apabila mendapat penajaan pendidikan daripada Petronas, yang semestinya PETRONAS merupakan nama yang begitu besar yang sangat terkenal sehingga di luar negara.

“Saya harap melalui tajaan pendidikan daripada PETRONAS ini, saya mempunyai peluang pekerjaan yang lebih luas dan menjadi impian saya untuk bekerja di Petronas kelak,” katanya. 

Kali ini, tajaan berkenaan telah disampaikan kepada pelajar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Di bawah PESP, PETRONAS memberi penajaan pendidikan menyokong para pelajar bermula daripada pengajian asasi sehingga ijazah sarjana muda pertama.

Syarikat pengeluar petroleum negara itu juga memperluas penajaannya yang merangkumi disiplin seperti sains komputer, kejuruteraan perisian dan teknologi maklumat dalam menyediakan bakat serta tenaga kerja bagi landskap Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Tahun ini, PETRONAS telah menerima lebih daripada 9,000 permohonan PESP dari seluruh negara.

Sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program itu telah mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion.