KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan sehingga 23 Nov ini pendengaran permohonan kerajaan bagi menghalang Petrosaudi International Ltd (PSI), anak syarikatnya Petrosaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) dan warga Arab Saudi Tarek Obaid daripada menggunakan AS$340 juta dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di United Kingdom.

Norinna mencadangkan penangguhan itu selepas Ahmad Shahrir berkata peruntukan yang melibatkan permohonan bagi menghalang pergerakan wang terbabit adalah terlalu kabur.

Terdahulu, hakim itu berkata permohonan pendakwaan berhubung perintah menghalang tidak menyatakan sama ada ia terjumlah di bawah Seksyen 53(1)(a) atau Seksyen 53(1)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkaitan larangan berurusan dengan harta di luar Malaysia.

Seksyen 53(1)(a) adalah berkaitan dengan isu di mana harta itu adalah perkara atau hal yang berkaitan perlakuan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau kesalahan pembiayaan keganasan Seksyen 53(1)(c) menyebut mengenai keadaan di mana harta itu adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Obaid, tidak membantah permohonan itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya.


-- BERNAMA