BENTONG: Petugas media Channel News Asia (CNA), Khairul Azman Zainuddin, 45, yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 43, Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur dekat sini pada jam 12 tengah hari Ahad.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian itu dipercayai motosikal yang ditunggangi mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

"Mangsa tercampak ke seberang jalan dan dilanggar oleh sebuah motosikal lain dari arah Kuala Lumpur yang ditunggangi seorang lelaki berusia 46 tahun yang tidak sempat mengelak apabila tiba di tempat kejadian.

"Mangsa, Khairul Azman Zainuddin, disahkan oleh petugas perubatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya, penunggang sebuah motosikal lagi hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Bentong.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.

Zaiham juga meminta semua pemandu kenderaan dan penunggang motosikal supaya lebih berhemah dan berhati-hati, manakala kenderaan masing-masing perlu diselenggara dengan baik.

"Saksi yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerusi talian 09-2222222 untuk membantu siasatan selanjutnya.