KAJANG: Seorang petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditemukan mati dengan kesan jerutan di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian itu disedari seorang rakan kerjanya yang pergi ke rumah mangsa, yang kemudian menghubungi polis menerusi talian MERS 999.

Beliau memberitahu, berdasarkan keadaan mangsa, polis percaya mangsa dibunuh lebih dari 24 jam.

"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pengawai penyiasat Asisten Superitendan Ismail Ahmad  di talian 019-2306107 atau  mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Mangsa yang difahamkan seorang bekas pelajar universiti tempatan itu dikatakan berkhidmat dengan ibu pejabat NGO terbabit sejak 2013.