LAHAD DATU: Penemuan ratusan lubang dan terowong di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua di sini membawa kepada pembongkaran aktiviti melombong emas di kawasan berkenaan.

Dipercayai aktiviti itu sudah dijalankan sejak tahun 90-an dan berjaya dibongkar melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Tabung Hidupan Liar (WWF).

Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu berjaya dikesan selepas pasukan OBK masuk ke kawasan berkenaan dari Ladang Ongkor, pada 14 Ogos lalu dengan mengambil masa sehingga lapan hari perjalanan untuk tiba ke sungai berkenaan.

"Hasil operasi, pasukan kita berjaya menemui aktiviti melombong emas secara haram di sepanjang kilometer satu hingga kilometer lapan di Sungai Bole.

"Di kilometer lapan juga, terdapat 103 lubang dan terowong yang aktif dipercayai baharu dikorek dan jumlah ini tidak termasuk lubang yang wujud di sepanjang lapan kilometer sungai berkenaan untuk aktiviti melombong emas yang dikatakan bermula sejak tahun 1990-an," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.

Antara terowong yang dikesan dipercayai hasil daripada aktiviti melombong emas secara haram di kawasan Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.

Mengulas lanjut, Toipi berkata, susulan daripada penemuan itu, pihaknya bertindak memusnahkan enam kawasan membabitkan 14 pondok yang dijadikan penempatan sementara bagi pelombong haram berkenaan.

"Pasukan kita kemudian keluar dari kawasan berkenaan pada 21 Ogos lalu dan terpaksa melalui jeram supaya laporan polis dapat dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

"Susulan daripada penemuan itu juga, pasukan yang diketuai oleh saya sendiri bertindak masuk semula ke kawasan itu untuk melakukan siasatan dan penggeledahan secara teliti dilakukan sebelum menemui tiga 'dump' (kawasan simpanan) yang mengandungi barang makanan, peralatan dapur, barangan peribadi dan peralatan melombong emas di kawasan berkenaan.

"'Dump' terakhir yang mengandungi alat senjata api seperti bakakuk dan peluru hidup yang disimpan agak jauh dari penempatan ditemui pada kali keempat pasukan masuk ke kawasan berkenaan iaitu pada 8 Oktober lalu," katanya.

Katanya lagi, tiada tangkapan dibuat kerana pelombong haram berkenaan sudah keluar dari kawasan itu lebih awal sebelum serbuan dibuat.

Senjata api dan peralatan melombong yang ditemui disimpan dalam 'dump' di kawasan penempatan pelombong haram di Sungai Bole di Hutan Simpan Ulu Segama Malua, Lahad Datu.

"Bagaimanapun, berdasarkan daripada penemuan barangan wanita di kawasan itu, kita percaya aktiviti melombong emas ini turut disertai oleh lebih daripada dua wanita dan siasatan masih dibuat bagi mengenal pasti individu yang terlibat," katanya.

Katanya lagi, hasil risikan sebelum ini, pihaknya percaya bahawa setiap satu kumpulan pelombong berkenaan berjaya menghasilkan sehingga empat kilogram emas setiap kali aktiviti melombong dilakukan.

"Perbuatan melombong di kawasan ini bukan saja membabitkan isu emas tetapi lubang dan terowong berkenaan yang ditinggalkan akan menyebabkan haiwan terperangkap dan hasil risikan juga terdapat empat kematian didedahkan berlaku di kawasan itu setakat ini.

"Oleh itu, pihak Tiger Platun merancang untuk melakukan lebih kerap latihan dalam perkhidmatan di kawasan ini selain cuba bekerjasama dengan pihak JPS sendiri bagi menghalang aktiviti ini berterusan," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian