SEGAMAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah akan digerak bagi membantu operasi banjir di daerah Segamat mulai hari ini.

Pemangku Ketua Polis Johor DCP Datuk Khaw Kok Chin berkata bagi peringkat permulaan, satu platun 42 anggota daripada Batalion 5 dan 6 PGA Briged Tengah akan digerakkan dan jumlahnya ditambah mengikut situasi semasa banjir di daerah itu.

"Kita juga akan menggerakkan pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan sekiranya keadaan memerlukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat pada Ahad.

Beliau berkata setakat ini, sejumlah 15 pegawai dan 184 anggota polis bersiap sedia untuk digerakkan dalam operasi bantuan mangsa banjir di daerah itu.

"Kawasan yang dilihat terjejas teruk ialah Labis, Jementah, Tenang, Buloh Kasap, Bandar Segamat dan Batu Anam," katanya sambil menambah selain Segamat, pihaknya memantau daerah lain termasuk Tangkak dan Kota Tinggi bagi menggerakkan pasukan bantuan ke lokasi terbabit.

Sebanyak 31 kampung, tiga taman perumahan dan kawasan sekitarnya terjejas banjir dengan 34 pusat pemindahan sementara dibuka di Segamat bagi menempatkan 1,950 mangsa daripada 491 keluarga.

BACA: Lapan lagi PPS dibuka di Segamat, mangsa terus meningkat

BACA: Segamat paling banyak terima hujan dalam tempoh seminggu ini

Tiga laluan di daerah itu ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Putting, Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung dan Jalan Tumang manakala satu dibuka kepada kenderaan berat sahaja iaitu Jalan Jabi Kampung Bukit Tempurung.

-- BERNAMA