TENOM: Empat individu ditahan selepas didapati melakukan aktiviti pemburuan haram di Hutan Simpan Sipitang Ulu Tomani, di sini, kelmarin.

Semua lelaki berusia 18 hingga 22 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan operasi Op Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Jabatan Perhutanan Sabah.

Operasi turut dibantu anggota dan pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah serta Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pasukan operasi turut berjaya merampas tiga laras senapang buatan sendiri jenis Bakakuk bersama 17 butir peluru.

Katanya, semua suspek dikesan ketika menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan menuju ke hutan simpan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan yang berasal daripada perkampungan berhampiran.

“Mereka dipercayai masuk ke hutan simpan untuk tujuan aktiviti pemburuan haram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, keempat-empat suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua rampasan termasuk empat motosikal dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM20,970.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya," tegasnya.