BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas pelbagai barangan membabitkan nilai hampir RM17 juta menerusi tiga operasi yang dilaksanakan di kawasan sempadan negara bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mei lepas.

Komander Briged Utara PGA SAC Nordin Manan berkata dalam tiga operasi tersebut iaitu Op Wawasan Kedah-Perlis, Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah, sebanyak 333 individu termasuk tiga kanak-kanak turut ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Bagi tempoh itu, sebanyak 195 kes melibatkan pelbagai kesalahan antaranya di bawah Akta Racun 1952 membabitkan 93 kes, Akta Imigresen 1959/63 (39 kes), Akta Dadah Berbahaya 1952 (lapan kes) dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (tiga kes).

"Selain itu di bawah Akta Kastam 1967 (12 kes), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (sembilan kes), Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 (tiga kes) dan lain-lain akta (28 kes) ," katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, rampasan tertinggi di bawah Akta Kastam 1967 membabitkan pelbagai barangan termasuk rokok, minuman keras serta lima buah kenderaan yang keseluruhannya bernilai lebih RM8.90 juta, diikuti di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan rampasan dadah bernilai RM4.77 juta.

Menurut beliau, sepanjang tempoh sama juga lebih 34 tan daun ketum serta 50 kenderaan yang digunakan untuk menyeludup keluar daun itu turut dirampas di bawah Akta Racun 1952 membabitkan nilai sebanyak RM2.02 juta.

"Turut dirampas pelbagai jenis barangan kosmetik dan makanan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan makanan negara ini serta 19 buah kenderaan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM1.19 juta," katanya.

Nordin berkata bagi tangkapan pula sebahagian besar iaitu sebanyak 251 orang ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala selebihnya ditahan di bawah akta berkaitan.

Menurutnya, PGA Briged Utara terus mengawal ketat sempadan negara bagi mengelak sebarang aktiviti penyeludupan serta pencerobohan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Masyarakat diminta terus menyalurkan maklumat kepada PGA di talian 04-9222152 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk sama-sama membendung jenayah rentas sempadan dan berkaitan penyeludupan," katanya.

-- BERNAMA