PH sedia bentuk kerjasama dengan UMNO di Perak

Abd Razak Mohd Ali
Disember 6, 2020 05:10 MYT
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, demi kepentingan rakyat, PH bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membantu membentuk kerajaan pelbagai kaum, kukuh dan stabil. - Gambar fail
IPOH: Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di Perak.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, demi kepentingan rakyat, PH bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membantu membentuk kerajaan pelbagai kaum, kukuh dan stabil.
“Saya terbuka untuk perbincangan yang membina dan kami sudah bersedia,” katanya dalam aplikasi Whatsapp yang dikongsi bersama media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di negeri Perak.
Bagaimanapun, tegasnya, mereka akan mencuba seboleh mungkin untuk mengekalkan kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar terdahulu.
LAPOR LANGSUNG: UMNO, BN tidak tolak kemungkinan penjajaran baharu politik
Sementara itu Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, keutamaan PH sekarang ialah menjaga kepentingan rakyat yang menderita sepanjang pandemik COVID-19.
“Kami tidak akan menyertai UMNO. Amanah dan PH bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk UMNO untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil di Perak,” ujarnya.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Selvador Rizal Mubarak pula dalam jawapan ringkasnya berkata, mereka bersedia demi untuk kepentingan rakyat.
#politik perak #politik #Perak #Menteri Besar #Asmuni Awi #Farhash Wafa Selvador Rizal Mubarak #Nga Kor Ming #UMNO #PKR #Barisan Nasional #DAP #Pakatan Harapan #kerajaan #Ahmad Zahid Hamidi #jajaran baharu politik #penjajaran baharu politik