Piala Dunia dwitahunan: UEFA percaya FIFA tidak akan teruskan idea

Astro Arena
Mac 4, 2022 12:21 MYT
Idea untuk menganjurkan Piala Dunia secara dwitahunan telah mendapat tentangan meluas oleh ramai pihak dalam bola sepak terutama di Eropah dan Amerika Selatan. - Foto Astro Arena
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, yakin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan membatalkan hasrat untuk menganjurkan Piala Dunia secara dwitahunan yang dilabelnya sebagai satu idea yang tidak boleh diguna pakai dalam bola sepak.
Badan induk dunia terbabit yang diketuai oleh Ketua Pembangunan Bola Sepak Global, Arsene Wenger, mendesak kejohanan paling berprestij di dunia itu agar diadakan setiap dua tahun, bukannya setiap empat tahun seperti lazimnya.
Bagaimanapun, idea ini telah mendapat tentangan meluas oleh ramai pihak dalam bola sepak terutama di Eropah dan Amerika Selatan.
Walaupun badan induk dunia itu secara terbuka ingin meneruskan projek berkenaan, Ceferin sebaliknya berkata FIFA kini telah menerima hakikat bahawa ia tidak akan berlaku.
"Piala Dunia dwitahunan adalah satu larangan buat semua orang dalam bola sepak," kata Ceferin dalam Sidang Kemuncak Bola Sepak dan Perniagaan Financial Times, malam tadi.
"Saya gembira FIFA telah menyedari perkara itu juga. Saya telah mengadakan perbincangan dengan presiden FIFA mengenainya semalam.
“Kita tidak boleh menolak bahawa bola sepak di benua lain tidak boleh dibangunkan tetapi kami harus sejajar dan ia tidak sepatutnya menjejaskan persekutuan Eropah dan Amerika Selatan.
"Kami sempat adakan perbincangan tetapi setakat ini, Piala Dunia dwitahunan tidak dapat dilangsungkan. Saya pasti kami akan mencapai penyelesaiannya dengan FIFA tidak lama lagi."
#Piala Dunia #FIFA #UEFA #Arsene Wenger #Aleksander Ceferin