MENJELANG Kejohanan Badminton Piala Sudirman yang bermula Ahad ini, skuad muda negara giat mengharungi fasa-fasa terakhir persediaan mereka.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi acara beregu lelaki, Soh Wooi Yik, berkata perubahan mula terasa sejak kejayaannya dalam temasya berprestij itu.
"Ketika Sukan Olimpik, orang boleh tengok kekuatan saya semakin meningkat, saya kini boleh bermain di belakang mahupun depan.
"Ini yang saya perlu kekal dan tingkatkan, saya banyak berbincang dengan jurulatih.
"Piala Sudirman ini sangat penting untuk kami fokus.
"Pemain senior mempunyai tanggungjawab. Tiada masalah dengan tekanan kerana ia juga penting untuk kami membimbing pelapis.
"Apa yang boleh saya bantu dalam Piala Sudirman dan Piala Thomas kelak ialah menawarkan banyak idea kepada mereka," katanya yang akan bertolak ke Finland malam ini.

 
Sumber Facebook BAMalaysia

Wooi Yik juga menganggap bahawa dirinya berada di landasan tepat untuk menghadapi kejohanan berpasukan itu selepas menjalani latihan berkeamatan tinggi selama dua minggu.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, merangkumkan persiapan pemain-pemain negara berada di tahap terbaik walaupun mereka bakal menghantar bakat-bakat muda ke kejohanan itu.
"Pasukan negara memperincikan tumpuan selepas pulang daripada Sukan Olimpik.
"Mereka yang beraksi kini di tahap 90 peratus berbanding kemuncak Sukan Olimpik tetapi pelapis yang lain sudah lama bersedia jadi saya berharap mereka mampu mempamerkan potensi dalam kejohanan akan datang," katanya.

Badminton | Wakil ke Piala Sudirman dalam fasa akhir latihan

Selain itu, Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM25,000 kepada pemain dan jurulatih yang memastikan Malaysia meraih pingat dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Cheah Liek Hou, menjadi penerima insentif tertinggi dengan jumlah sebanyak RM 1o,000 selepas melakar sejarah mengalahkan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam penentuan juara.
Aaron Chia-Wooi Yik menerima insentif berjumlah RM5,000 sementara perseorangan wanita, Soniaa Cheah, serta bekas beregu wanita, Chow Mei Kuan, masing-masing meraih RM2,000.
Choong Hann dan Datuk Rashid Sidek pula menerima RM3 ,000 sebagai penghargaan kerana memastikan pingat emas dan gangsa dibawa pulang dari Jepun itu.