Piala Thomas: Leong Jun Hao lakar kebangkitan, pastikan kemenangan Malaysia!

Astro Arena
April 27, 2024 03:54 MYT
Leong Jun Hao melakar kebangkitan memastikan Malaysia memperoleh kemenangan ke atas wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long. - Foto BAM
LEONG JUN HAO melakar kebangkitan memastikan Malaysia memperoleh kemenangan ke atas wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long, dalam aksi peringkat kumpulan Piala Thomas di Chengdu, sebentar tadi.
Pemain perseorangan yang mengambil alih tempat Ng Tze Yong sebagai perseorangan kedua, turun bertemu Ng Ka Long, seorang pemain yang cukup berpengalaman.
Selepas Lee Zii Jia serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memastikan dua mata awal buat Malaysia, Jun Hao diturunkan dalam usaha untuk memburu mata ketiga pasukan.
Bagaimanapun, dia terpaksa ketinggalan terlebih dahulu apabila Ka Long memenangi set pertama 21-17.
Selepas meneliti corak permainan lawan, Jun Hao mengubah rentak permainan dan ternyata percaturan itu berhasil apabila menyamakan kedudukan 21-12.
Dalam set penentuan, wakil Hong Kong semakin hilang arah dalam mengejar tempo permainan Jun Hao sebelum menghulurkan kemenangan buat Jun Hao 21-15.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro
#Piala Thomas #Lee Zii Jia #badminton #Leong Jun Hao #Hong Kong