KUALA LUMPUR: Seramai 1,039,689 atau 33 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 79.1 atau 2,491,822 daripada populasi remaja telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 22,013,263 individu atau 94 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 97.2 peratus atau 22,764,203 daripada populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 114.5 peratus diikuti Labuan (101.3 peratus), Negeri Sembilan (100.7 peratus), Pulau Pinang (96.8 peratus), Perlis (96.1 peratus), Johor (95 peratus), Melaka (91.4 peratus), Sarawak (90.8 peratus) dan Terengganu (90.4).

Ini diikuti Kedah (85.4 peratus), Perak (84.7 peratus) dan Pahang (83.7 peratus).

Paling rendah adalah Sabah (71 peratus), diikuti Kelantan (76.8 peratus).

Bagi populasi keseluruhan, seramai 23,052,952 individu atau 70.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala 77.3 peratus atau 25,256,025 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Terdapat pertambahan 134,684 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua golongan populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 48,181,111 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.